Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Real bertemu Bayern, Liverpool terima kunjungan Roma

cristiano-ronaldo-robert-lewandowski.jpg
Juara bertahan, Real Madrid, akan bertemu Bayern Munich dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) manakala Liverpool berdepan AS Roma dalam aksi final ulangan 1984.

Real, yang diketuai Cristiano Ronaldo, akan ke Allianz Arena untuk aksi pertama berdepan Bayern manakala Liverpool menerima kunjungan Roma di Anfield terlebih dahulu.

Pertembungan Liverpool-Roma menyaksikan Mohamed Salah, yang menjaringkan 39 gol dalam semua kejohanan musim ini, bakal berdepan bekas kelabnya.
Real, yang telah muncul juara kejohanan ini sebanyak 12 kali, mara ke separuh akhir apabila merentap kebangkitan Juventus di penghujung permainan hasil jaringan Ronaldo untuk memberikan kemenangan 4-3.

Roma mempamerkan aksi yang mengejutkan dalam sejarah UCL apabila menyingkirkan Lionel Messi dan Barcelona dengan kemenangan 3-0 di Stadio Olimpico, sekali gus menang dengan kelebihaan jaringan di tempat lawan.

Juara Bundesliga, Bayern, yang menamakan Niko Kovac sebagai jurulatih terbaru mereka beberapa minit sebelum undian dilakukan, tidak menghadapi kesukaran mengatasi Sevilla dalam suku akhir.

Liverpool menewaskan bakal juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, 5-1 secara agregat untuk bertemu Roma. Mereka akan mengulangi aksi final 1984 yang menyaksikan The Reds muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.

Aksi pertama akan berlangsung pada 24-25 April manakala timbal balik dijadualkan pada 1-2 Mei.

Advertisement

Must Watch Video