Skip to main content

Bola Sepak

Tunku Ismail berat hati lepaskan Harimau Malaya ke Pyongyang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

4417tmj.jpg
Selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan aksi kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia berlangsung di Pyongyang, 8 Jun ini, pelbagai reaksi diterima.

Terkini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pula meluahkan kerisauan.

Menurutnya, seperti sedia maklum, Kerajaan Malaysia tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya beraksi di Korea Utara disebabkan isu diplomatik yang kurang baik ketika ini.

"Kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan, cuma nasihat mengenai perjalanan dan itu tidak cukup untuk AFF menukar venue perlawanan asal ke venue neutral.

"Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana," katanya seperti dipetik dalam satu kenyataan.

Tambah Tunku Ismail, sekiranya FAM tidak melepaskan pemain negara beraksi di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

"Tambahan, kita juga akan didenda sehingga USD50,000 (RM217,000) dan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia. Lebih membimbangkan, besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang."

Selain masalah jaminan keselamatan, Tunku Ismail turut khuatir dengan layanan kemudahan penginapan di sana.

"Ini disebabkan salah satu maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

"Seperkara lagi adalah berkenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekira terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas, sekali gus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan," katanya.

Namun, setakat ini masih tiada sebarang bantahan rasmi dikemukakan dan FAM juga belum memutuskannya.

Selain Korea Utara, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Lubnan dan Hong Kong.

Advertisement

Must Watch Video