Skip to main content

Bola Sepak

T-Team, Sarawak puas hati kongsi satu mata

rahmad-darmawan.jpg

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, tetap tenang meskipun sekadar mengutip satu mata selepas terikat 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

“Tidak dinafikan kami gagal beraksi dengan corak yang diinginkan gara-gara keadaan padang yang tidak sesuai sehingga memaksa kami melakukan hantaran-hantaran jauh.

“Pemain-pemain masih menunjukkan keinginan untuk menampilkan rentak positif, malah mempunyai deretan peluang tetapi gagal memanfaatkannya.

“Pasukan lawan memerangkap kami dengan serangan-serangan balas dan kami tidak bersedia untuk menghadapi situasi itu sehingga membawa kepada jaringan penyamaan mereka.

“Farhod (Tadjiyev) juga agak keseorangan di bahagian depan kerana kami tidak bermain dengan hantaran-hantaran pendek seperti kebiasaannya.

“Kemasukan (Mohd) Azalinullah dan (Mohd) Zarulizwan memberi sedikit perubahan dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pasukan ini,” kata Rahmad.

Satu mata yang diraih juga jelas melegakan pengendali Sarawak, David Usop, yang memuji kejayaan anak-anak buahnya menyerap tekanan tuan rumah meskipun ketinggalan pada awal babak kedua.

“Beraksi di tempat lawan pada aksi sulung sentiasa satu tugas yang sukar, malah kami tahu T-Team adalah satu pasukan yang bagus dan berdisiplin.

“Mereka tidak bernasib baik dan hampir memenangi perlawanan ini dengan peluang-peluang yang ada, jadi saya gembira dengan satu mata ini.

“Kami beraksi mengikut rentak tersendiri dan pemain-pemain tidak tertekan serta menggandakan usaha pada 45 minit kedua.

“Dengan komitmen yang ditunjukkan, keputusan ini adalah satu keputusan yang adil buat kami,” tambahnya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan tuan rumah memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi rembatan pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hasan, hasil sepakan percuma Mohd Arif Fadzilah.

Penyerang import Sarawak, Mateo Roskam, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 selepas menyempurnakan hantaran silang Mark Andrew Hartmann untuk menafikan hasrat tuan rumah mengutip tiga mata penuh.

 

Advertisement

Must Watch Video