SERIE A
Trofi bukan kayu pengukur Roma ketika ini -- Mourinho
Jose Mourinho bersedia untuk meraikan kejayaan dengan menuntut Roma memberinya alasan untuk itu -– tetapi dia masih tidak pasti apa yang layak untuk diraikan musim ini.
Bekas pengurus Chelsea, Real Madrid, Inter dan Manchester United itu menggalas tugas yang sukar di ibu negara Itali berkenaan dalam usahanya menjadikan Roma sebagai pasukan yang mampu bersaing merebut trofi.
Pada awalnya, mereka agak berdaya saing daripada segi memburu kejuaraan Serie A, sama seperti dalam tugasnya di Tottenham sebelum ini tetapi ia tidak bertahan lama.
Iklan
Ketika di kelab London itu, Mourinho menyambut gembira dengan kejayaan mereka layak ke Liga Europa, secara tidak langsung membangkitkan persoalan sama ada dia akan meraikan dengan cara yang sama sekiranya Roma mencapai objektif mereka.
"Ada pasukan yang meraikannya apabila mereka mengelak penyingkiran. Itulah sasaran yang mereka ada," kata Mourinho.
“Apabila orang bercakap tentang seorang pengurus yang mempunyai banyak trofi, bagaimana pula dengan mereka yang tidak banyak memenanginya?
"Ia mengenai sasaran yang mereka ada. Jika Thiago Motta mengekalkan Spezia, Andriy Shevchenko (Genoa), atau Salernitana kekal, maka seseorang jurulatih itu mempunyai sebab untuk meraikan pencapaian tersebut. Adakah saya bersedia untuk meraikan kejayaan sekiranya kami menang, jelas jawapan saya adalah ya.
"Musim ini kami tidak mempunyai sasaran khusus selain liga kerana ia adalah kayu ukur kemajuan kami."
Mourinho sudah mengharungi 17 perlawanan Serie A bersama Roma tetapi mempamerkan prestasi terumbang ambing menjelang pertembungan dengan Atalanta -- yang projek mereka jauh di hadapan -- malam ini.
Walaupun menegaskan pasukannya boleh menang di Bergamo dan terus berkembang, pengendali Portugis itu tidak mengambil peduli tentang kepercayaan bahawa dia perlu memenuhi jangkaan Roma pada musim ini berdasarkan beberapa perspektif.
Dia juga tidak menyembunyikan rasa iri hati terhadap rakan sejawatannya minggu ini, Gian Piero Gasperini, yang diberi masa hampir enam tahun untuk membentuk skuadnya dan Atalanta kini di tangga ketiga Serie A dan merupakan pencabar kejuaraan.
"Terdapat perbezaan asas di antara kami dan Atalanta," katanya lagi dalam sidang akhbar.
"Saya baru berada di sini enam bulan tatkala Gian Piero telah berada di sana selama enam tahun. Enam bulan, enam tahun. Perbezaan ini bukan hanya membabitkan jumlah sesi latihan yang telah mereka lalui bersama, malah dalam perkongsian idea dan mengenal pasti prosesnya. Mereka telah mengharungi 12 jendela perpindahan bersama sementara kami baru sekali.
"Atalanta adalah sebuah kelab yang menakjubkan, sebuah kelab yang sangat stabil dengan tahap kerjasama yang hebat di antara kelab dan Gasperini. Ketika saya mula-mula tiba di Itali, mereka tidak mempunyai cita-cita yang sama. Tetapi 10 tahun kemudian mereka kini adalah sebuah pasukan Liga Juara-Juara yang bersaing untuk meraih kejuaraan."
Must-Watch Video