Skip to main content

Bola Sepak

Trio import baharu perlu masa untuk serasi-- Adam

adam-abdullah.jpg
Pemangku jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah, mengharapkan persembahan positif menentang Felda United dalam aksi Piala Malaysia malam ini meskipun kejohanan itu tidak menjadi keutamaan pasukannya.

Pertemuan menentang Felda United menjadi tugasan pertama buat Adam sejak dilantik sebagai pemangku jurulatih susulan langkah pengurusan pasukan merehatkan E. Elavarasan.

Beliau sekali lagi menegaskan kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan lebih menjadi keutamaan tetapi itu tidak bermaksud PKNS akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan.

Selain itu, beliau turut melihat Felda United sebagai pasukan yang lebih seimbang dan berwaspada dengan kemampuan lawan itu.

"Felda membawa masuk pengendali berpengalaman dan ramai pemain baharu, jadi mereka pasukan yang lebih baik berbanding kami," ujar Adam.

Ketiadaan Safee Sali memaksa Adam meneliti calon sesuai untuk digandingkan bersama Patrick Ronaldinho Wleh di bahagian serangan.

Safee mengalami kecederaan tulang selangka ketika pertemuan Liga Super menentang Melaka United, minggu lalu dan sudah menjalani pembedahan.

Dalam pada itu, Adam mengakui tonggak import baharu pasukannya, Fabio Ferreira, Abdou Jammeh serta Park Kwang Il masih memerlukan sedikit masa lagi untuk membentuk keserasian dengan rakan sepasukan yang lain.

"PKNS ada masalah kecederaan, antaranya Safee dan P. Gunalan, jadi kami perlu mengharungi perlawanan dengan pemain yang ada," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video