Skip to main content

Bola Sepak

Tonali sulitkan dirinya dan Newcastle

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tonali2.jpg
Newcastle United sedang mengharungi musim memberangsangkan, namun kini berhadapan satu tamparan hebat akibat kesilapan pemain pembelian baru mereka, Sandro Tonali. 

Segala-galanya bermula awal bulan ini apabila akhbar Itali, La Stampa, mendedahkan bahawa pemain muda Juventus, Nicolo Fagioli, sedang bergelut dengan masalah ketagihan berjudi dan terperangkap dalam masalah hutang disebabkannya. 

Selang beberapa hari, pegawai polis Itali menyerbu pusat latihan pasukan kebangsaan Itali untuk menyoal dua lagi pemain, iaitu Tonali dan Nicolo Zaniolo dari Aston Villa, lalu memaklumkan kedua-duanya bakal disoal-siasat secara rasmi oleh Pejabat Pendakwa Raya Turin atas dakwaan berjudi secara haram menggunakan platform atas talian. 

Hasil siasatan lanjut, Tonali didapati telah aktif berjudi sejak bertahun-tahun lalu dan lebih buruk lagi, turut membuat pertaruhan ke atas bekas pasukannya, AC Milan. 

Harus ditekankan di sini yang pertaruhannya adalah ke atas kemenangan Milan, maka elemen rasuah atau mendatangkan kekalahan secara sengaja tidak berkaitan tapi ia tetap satu kesalahan besar menurut undang-undang Itali. 

Tonali kini dilaporkan bakal digantung perlawanan selama 10 bulan sementara menunggu siasatan dilengkapkan -- memaksa Newcastle untuk beraksi tanpanya sehingga Ogos tahun depan, begitu juga dengan pasukan kebangsaan Itali jika mereka layak ke saingan Euro 2024 kelak. 

Kisah ini mengimbau kenangan terhadap seorang bekas pemain Newcastle, Joey Barton. 

Barton adalah seorang pemain bola sepak berbakat dan pernah beraksi untuk beberapa kelab besar, antaranya Manchester City, tetapi terlibat dengan begitu banyak masalah disiplin yang teruk menjejaskan aksinya. 

Barton turut dilaporkan telah membuat pertaruhan terhadap 1,260 perlawanan secara keseluruhan dalam tempoh 10 tahun dan dikenakan penggantungan 18 bulan sebelum akhirnya memilih untuk bersara. 

Laporan pelbagai sumber media mendedahkan ejen Tonali, Giuseppe Riso, mengakui yang pemain itu sememangnya ketagih berjudi tetapi percaya insiden itu bakal membuatnya berubah. 

Pengurus Newcastle, Eddie Howe, bersimpati dengan nasib pemainnya itu dan berjanji akan memberikan sokongan penuh dalam tempoh yang sukar ini. 






Howe, bagaimanapun, tidak mampu untuk mendedahkan sama ada pihak pengurusan Newcastle akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Tonali atas kesalahannya. 

Sebagai perbandingan, jika ada pemain yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah, ia adalah satu perkara biasa buat kelab untuk menamatkan kontrak pemain tersebut, namun kemungkinan besar tindakan sebegitu tidak akan dihadapi dalam kes Tonali ini. 

Sementara itu, akhbar Daily Mail melaporkan Newcastle mungkin menyaman AC Milan atas dakwaan menjual pemain yang mereka tahu tidak akan dapat beraksi buat jangka masa yang lama. 

Dakwaan ini bagaimanapun kedengaran agak tidak munasabah, dan pastinya Milan bakal menidakkan bahawa mereka mempunyai sebarang maklumat awal tentang masalah ketagihan Tonali. 

Ironinya di sini, kedua-dua Newcastle dan juga Aston Villa mempunyai perjanjian komersial dengan tiga syarikat perjudian atas talian, menyebabkan setiap kenyataan rasmi mereka harus diutarakan secara penuh berhati-hati. 

Tonali sempat turun ke padang sewaktu Newcastle ditewaskan 1-0 oleh Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA awal pagi tadi tetapi sama ada kita akan dapat terus menonton aksinya selepas ini sukar diramalkan. 

Sesungguhnya perkara ini dalah sesuatu yang amat menyedihkan dan mencemarkan keindahan sukan ini, tetapi begitulah lumrahnya apabila nafsu menguasai diri. 

 

 

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video