Skip to main content

Bola Sepak

Tiga pemain import Sarawak galas misi tiga mata di Kuala Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

200117-demerson-bruno-costa-mateo-roskam-lee-jong-ho-mark-andrew-hartmann.jpg
Sarawak mungkin merehatkan penyerang import baharunya, Mateo Roskam, dalam aksi pembukaan Liga Super menentang T-Team di Kuala Terengganu, , malam esok.

Pengendali pasukan, David Usop, berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan Roskam cergas sepenuhnya sebelum turun beraksi.

"Dia mengalami kecederaan belakang sejak dua bulan lalu dan sedang dalam proses pemulihan.

"Saya akan melihat hasil latihan pada pagi ini dan akan membuat keputusan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Roskam, 29, merupakan pemain penyerang terakhir yang tersenarai dalam senarai David setelah pencarian berakhir minggu lalu.

Mateo -- pemain kelahiran Split, Croatia -- pernah beraksi untuk Sime Darby FC pada musim 2014 sebelum berhijrah ke Tampines Rovers (2015-2016).

Bagaimanapun, seorang lagi pemain import baharu Sarawak, Demerson Bruno Costa, dijangka diturunkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Teah Dennis.

Sebelum menyertai kem Sarawak, Demerson merupakan pemain pertahanan untuk pasukan Chapecoense, Brazil -- yang kehilangan hampir seluruh pasukannya dalam nahas pesawat LaMia Airlines, Flight 2933 di Colombia ketika dalam penerbangan untuk beraksi dalam perlawanan akhir pertama Copa Sudamericana, 28 November lalu.

Seramai 19 rakan sepasukan Demerson maut dalam tragedi itu, mengulangi sejarah yang pernah dialami Manchester United apabila lapan pemainnya maut berikutan nahas pesawat British European Airways terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Munich pada tahun 1958.

Dua lagi pemain yang lebih awal bersama-sama Sarawak ialah pemain tengah, Lee Jong Ho, dari Korea Selatan dan penyerang Filipina, Mark Andrew Hartmann.

David berkata, sebagai perlawanan pemanas badan, tiada harapan tinggi dapat disandarkan.

"Sukar untuk mencongak kekuatan lawan ataupun menganalisis strategi mereka ketika ini.

"Sebaliknya, kami akan menggunakan kesempatan ini untuk memastikan pemain beraksi sebaik mungkin, dapat menyerap tekanan dan memburu kemenangan pertama.

"Malah, kami juga menguji keserasian pemain sebelum memikirkan langkah seterusnya," katanya lagi.

Pada musim ini, Sarawak hanya mengekalkan tiga pemain luar Bumi Kenyalang, iaitu Ronny Harun, Shahril Saari dan Ramesh Lai Huat.

Advertisement

Must Watch Video