Angkatan Muda Keadilan Johor kesal dengan pihak tertentu di dalam media sosial yang dilihat cuba mewujudkan persepsi buruk mengaitkan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Naib Ketuanya, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, tiada asas mengaitkan Tunku Mahkota Ismail kerana baginda tiada sebarang jawatan dalam MFL mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Walaupun tidak ditulis secara terang nyata namun ia dapat difahami seolah-olah kononnya Tunku Mahkota Ismail sengaja terlibat campur tangan mempengaruhi MFL untuk ‘kenakan’ Selangor FC, seolah-olah JDT anak emas MFL, seolah-olah Liga Malaysia milik Tuanku Mahkota Ismail. Sedikit sebanyak tuduhan ini turut menyinggung perasaan Bangsa Johor.

"Saya tidak pasti apakah asas atau fakta mereka sehingga sanggup kaitkan Tunku Mahkota Ismail dengan keputusan MFL. Tunku Ismail tiada sebarang jawatan dalam MFL mahupun FAM," katanya dalam muat naik di Facebook pada Khamis.

Justeru, beliau berpandangan tidak adil sesuatu tuduhan dilemparkan kepada Tunku Mahkota Ismail tanpa mengemukakan bukti yang kukuh.

"Sebagai rakyat Malaysia, tidak salah untuk kita suarakan pandangan namun perlulah mengambil sikap sederhana, berhati-hati dan bertanggungjawab membawa fakta yang tepat.

"Supaya akhirnya pandangan yang dilontarkan itu tidak mencemarkan nama baik Institusi raja yang berdaulat dan tidak menggugat perpaduan rakyat," ujarnya.

Pada Selasa, Selangor FC menerima tamparan hebat apabila didenda RM100,000 dan dikenakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

MFL dalam kenyataannya memaklumkan kesemua keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat.

Dalam pada itu, Muhammad Faezuddin berharap MFL dapat mempertimbangkan rayuan Selangor FC.

"Keputusan MFL diselar ramai sebagai tidak adil, kejam dan tiada empati. Walau bagaimanapun masih belum terlambat untuk MFL memperbaiki keadaan.

"Saya harap MFL dapat mempertimbangkan alasan-alasan yang dirasakan munasabah dalam rayuan Selangor FC," katanya lagi. -- Sinar Harian