Skip to main content

Bola Sepak

Tidak mustahil Ronaldo kembali ke Old Trafford -- Calderon

cristianoronaldo-170617.jpg
Real Madrid pasti akan menghadapi masalah untuk memujuk Cristiano Ronaldo jika penyerang itu  membuat keputusan untuk berpindah dan perpindahan kembali ke Manchester United mungkin berlaku.

Hal itu dinyatakan oleh bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon, selepas wujud laporan bahawa pemain berusia 32 tahun itu mahu meninggalkan Los Blancos selepas kecewa dengan isu pembayaran cukai yang dihadapinya di Sepanyol.

Madrid menunjukkan keyakinan bahawa Ronaldo akan kekal, namun bintang Portugal itu dikatakan membuat keputusan drastik untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Walaupun hubungan Ronaldo dengan pengurus United, Jose Mourinho, tidak begitu sempurna semasa pengendali itu berada tiga musim di Madrid, Calderon yakin tidak mustahil mereka akan kembali bekerjasama.

“Saya rasa pasti sukar untuk mengubah fikirannya.

“Saya menghadapi situasi sama ketika mendapatkannya dari Manchester United. Dia mahu pergi dan itu yang berlaku ketika itu,” kata Calderon.

Sambil mengharapkan Ronaldo masih belum membuat keputusan, Calderon juga menyifatkan tidak banyak pasukan yang mampu menanggung kos untuk membawa masuk pemain itu.

“Hanya beberapa kelab yang dapat memenuhi kehendaknya. Ia tidak hanya melibatkan wang tetapi merangkumi aspek untuk memenangi kejuaraan serta anugerah peribadi,” ujar Calderon.

“Apa yang pasti, dia akan kekal di Eropah kerana saya tidak nampak Ronaldo akan berada di Timur Tengah atau China. 

“Dia bukan seperti itu. Ronaldo mampu beraksi di peringkat tertinggi dalam masa tiga atau empat tahun lagi dan dia pasti mahu memenangi sebanyak kejuaraan yang mampu, tidak kira ke mana dia pergi,” tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video