LIGA PERDANA MSIA
Tidak kisah siapa penjaring, yang penting menang - Jelius
Pengendali Sabah, Jelius Ating, tidak kisah siapa pun yang akan menjaringkan gol buat Sabah kerana apa yang penting bagi mereka adalah mencatat kemenangan.
Katanya, beliau tidak hanya mengharapkan penyerang import untuk mendapatkan gol buat pasukan, namun berharap mereka dapat menyumbang sesuatu bagi pasukan.
"Memang kalau kita lihat (Hector Omar) Ramos belum menjaringkan gol yang banyak, begitu juga dengan Lee (Gil Hoon) tetapi mereka telah memberi sumbangan, banyak jaringan-jaringan kami yang berpunca daripada mereka.
Iklan
"Kami juga memiliki ramai pemain tempatan yang mampu menjaringkan gol seperti Maxsius (Musa), Sabri (Sahar) dan juga Rawilson (Batuil), apa yang penting adalah kerjasama di kalangan pemain untuk mendapatkan gol buat pasukan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, jurulatih berusia 47 tahun itu menegaskan skuad kendaliannya perlu mencipta lebih banyak kemenangan sekiranya mahu terus berada dalam kelompok atasan Liga Perdana musim ini.
"Kami terlalu banyak mencatat keputusan seri, akibatnya kami jatuh satu anak tangga sebelum ini dan pasukan di bawah juga semakin menghampiri.
"Kami bermain baik pada hampir kesemua aksi kami setakat ini, namun bermain baik saja tidak memadai kerana kami perlu memenangi perlawanan," katanya.
Jelius berkata beliau kini sedang 'mengasah' bahagian serangan pasukan bagi menjadikan penyudah mereka lebih tajam.
"Dalamperlawanan-perlawanan lalu, kamimencipta banyak peluang baik tetapi penyudah kami agak tumpul, inilah yang kami cuba perbaiki dalam aksi akan datang," katanya.
Sabah akan meneruskan saingan liga bertemu UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok, seterusnya menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan pada Sabtu ini.
Must-Watch Video