Skip to main content

Bola Sepak

Tiada surat rasmi dari FIFA, Liga Indonesia didakwa menipu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

persib.jpg
Konflik terhadap larangan untuk penonton pasukan lawat menghadiri perlawanan di stadium dalam saingan Liga Super Indonesia musim 2025/26 semakin berlarutan apabila peminat menggesa Liga Indonesia Baru (LIB) untuk mendedahkan butiran rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Persoalan terus bermain, peminat ragu-ragu dengan pengurusan LIB yang tidak menjelaskan perkara sebenar. 

Terdahulu, Pengarah Utamanya, Ferry Paulus, mengumumkan badan induk dunia itu masih belum memberikan kelonggaran terhadap larangan berkenaan. 

Tambahnya, sekatan masih dikenakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang dengan misi mengekalkan keharmonian perlawanan bola sepak dan menjamin keselamatan pemain dan penyokong di dalam dan luar padang. 

Menjawab kepada desakan kumpulan penyokong khususnya dari pasukan Persib Bandung (Bobotoh), Ferry Paulus menegaskan bahawa arahan tersebut tidak datang dalam bentuk surat.

Malah, semua perlu memahami konteks secara tersirat berpandukan keadaan semasa. 

 

"Ya, sebenarnya ia sudah jelas secara tersirat.

"Sewaktu tragedi di Kanjuruhan, mereka (FIFA) hadir dan membuat keputusan demi kebaikan semua," katanya.

Ferry Paulus juga mendedahkan bahawa pihaknya sedia merombak semula peraturan itu dengan membenarkan semua lapisan penyokong hadir ke stadium semula menjelang musim baharu, namun semuanya bertukar gelap apabila melihat situasi perlawanan akhir membabitkan Persib Bandung menentang Persis Solo pada penghujung musim 2024/25.

"Kami sudah mendapatkan lampu hijau untuk memberi keizinan, tetapi kejadian itu memberi impak supaya arahan larangan diteruskan sehingga diberitahu kelak," katanya lagi.

Begitupun, peminat membanjiri komen dan terus mendesak supaya LIB mendedahkan surat rasmi daripada FIFA, namun masih belum ada pengesahan setakat ini.

Advertisement

Must Watch Video