Skip to main content

Bola Sepak

Tiada larangan perjalanan ke Korea Utara ketika ini -- Windsor

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

15517windsor.jpg
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, mengesahkan sudah menerima rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bermain di galanggang berkecuali bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia.

AFC sebelum ini memutuskan perlawanan itu berlangsung di Pyongyang, 8 Jun ini, sekali gus menimbulkan kerisauan buat FAM mengenai isu keselamatan skuad kebangsaan.

Menurut Windsor, terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilakukan AFC sebelum memutuskan sama ada menerima rayuan FAM atau tidak.

Katanya, seperti FAM, AFC turut mengutamakan keselamatan pemain dan pegawai pasukan tetapi badan Asia itu perlu mendapatkan gambaran sebenar situasi keselamatan di Korea Utara.

"Kami tidak ada masa yang banyak. Jika perlawanan perlu diteruskan di venue lain, bererti keputusan mengubah venue itu perlu dibuat secepat mungkin. 

"Seperti saya katakan, kami memerlukan laporan daripada badan bebas mengenai perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Tambah Windsor, sebelum ini AFC menangguhkan aksi Korea Utara-Malaysia selepas kerajaan melarang rakyat ke negara itu ekoran ketegangan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Ia berikutan kes bunuh Kim Jong-nam, yang merupakan adik tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Febuari lalu.

"(Tetapi) tiada larangan perjalanan yang dikenakan ketika ini, jadi kami tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan untuk mengubah venue.

"Surat rayuan yang dihantar FAM adalah berdasarkan faktor keselamatan ekoran senario yang berlaku ketika ini," jelasnya.

Advertisement

Must Watch Video