Skip to main content

Bola Sepak

TFC idam calar rekod bersih Selangor

irfan-bakti_5.jpg
Selepas sekadar seri dalam dua aksi awal, Terengganu FC (TFC) berazam menjadikan Selangor mangsa pertama dalam pertemuan Liga Super di Kuala Terengganu, malam ini.

Ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, turut mencabar skuad bimbingannya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang keramat mereka untuk mencalar rekod bersih The Red Giants.

Menurut Irfan, TFC tiada pilihan lain selain cuba mendapatkan tiga mata walaupun mengakui bukan tugas mudah berdepan anak-anak buah P. Maniam yang disifatkannya berada dalam prestasi terbaik.

“Cukuplah seri dua kali dan kami perlu lebih agresif bertemu Selangor. Saya berharap pemain-pemain menjaringkan gol awal serta tidak mengulangi kesilapan individu yang merugikan pasukan.

“Saya mahu TFC tampil dengan aksi yang bersih tetapi agresif,” jelasnya.

Sementara itu, biarpun gembira dengan prestasi ayam tambatan, Kipre Tchetche, Irfan tetap menuntut pemain-pemainnya mengambil tanggungjawab bersama untuk menjaringkan gol.

Menjaringkan tiga gol serta penjaring tunggal TFC setakat ini, Tchetche sudah pasti menjadi sandaran kem tuan rumah untuk merobek pintu gol lawan dalam aksi malam ini.

“Kami masih ada ramai pemain lain yang bagus dan sekiranya mereka memiliki peluang, mereka harus memanfaatkannya.

“Jangan berharap pada Tchetche sahaja,” kata Irfan lagi.

Advertisement

Must Watch Video