Skip to main content

Bola Sepak

TFC garang benam Selangor

tfc100218.jpg
TFC 4 SELANGOR 1

Dua jaringan menarik Lee Andrew Tuck membantu Terengganu FC (TFC) menang bergaya 4-1 ke atas pendahulu Liga Super, Selangor, dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.


Tuan rumah bermula baik pada minit kelima menerusi hantaran Abdul Malik Mat Arif di sebelah kanan menemui Mohd Shahrul Aizad yang melakukan voli, namun ditepis penjaga gol, Norazlan Razali.

Penyerang berbisa TFC, Kipre Tchetche, turut menguji pertahanan lawan dengan gerakan dimulakan Tuck pada minit ke-12, yang bagaimanapun menyaksikan rembatannya sekadar meliar.

Peluang pertamaThe Red Giants hadir enam minit kemudian melalui tandukan pertahanan import, William Pacheco, daripada sepakan percuma Evan Dimas tapi gagal menewaskan Mohd Suffian Rahman.

Hantaran kurang cermat pertahanan TFC, Mohd Fitri Omar, pada minit ke-29 hampir dihukum Rufino Segovia, namun mujur Mohd Suffian terus cemerlang menyelamatkan rembatan pemain Selangor itu.

Aksi semakin rancak dengan TFC mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-32 hasil sepakan kencang Tuck dari luar kotak penalti untuk menceriakan lebih 6,000 penyokong Sang Penyu.

Hasrat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu membawa kedudukan lebih selesa ke bilik persalinan tidak berhasil selepas percubaan Tuck serta tandukan Igor Zonjic (m-42) tersasar.

Tidak sampai seminit selepas rehat, TFC terus dihidangkan peluang, kali ini tiang menghalang percubaan jarak dekat Abdul Malik.

Mohd Shahrul akhirnya memberikan ruang bernafas buat TFC apabila menyudahkan sepakan percuma leret Tuck pada minit ke-59 untuk gol kedua pasukannya.

Kedudukan berubah lagi dengan Tchetche menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 sebelum Tuck menambah derita Selangor dua minit kemudian menerusi jaringan menarik dari tengah padang.

Pemain gantian, Mohd Amri Yahyah, menjaringkan gol sagu hati pelawat pada minit ke-88, malangnya sudah terlewat untuk menafikan kemenangan TFC.

Pertembungan di antara Kuala Lumpur dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pula ditunda akibat hujan lebat ketika The City Boys mendahului 1-0 di Stadium KLFA, Cheras dan ia akan disambung esok, jam 5 petang.

Keputusan lain:

Liga Super

PAHANG 3 KELANTAN 0

KUALA LUMPUR 1 JDT 0 (disambung esok)

PERAK 0 PKNS 2

Liga Perdana

SARAWAK 2 FELCRA 3

UKM 1 JDT II 0

UITM 1 KUANTAN 1 

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Advertisement

Must Watch Video