Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

TFC bangkit atasi Kuala Lumpur

lee-tuck.jpg
TERENGGANU FC 3 KUALA LUMPUR 1

Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 3-1 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Rentak perlahan dipamerkan dengan bola banyak berlegar di tengah padang pada 15 minit pertama sehingga percubaan meliar pemain tuan rumah, Andrew Lee Tuck, dari luar kotak penalti.

Berpunca daripada sepakan percuma Tuck, pemain pertahanan, Igor Zonjic, kemudian melakukan tandukan lemah untuk mudah ditangkap penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee, pada minit ke-27.

Kuala Lumpur mengejutkan kem tuan rumah pada minit ke-32 dengan gol pendahuluan daripada Guilherme De Paula yang mudah menyambung sepakan percuma Muhammad Syazwan Andik.

Begitupun, Terengganu menyamakan kedudukan enam minit selepas itu apabila hantaran lintang Muhamad Hafizal Alias dari sebelah kanan ditolak masuk Abdul Malik Mat Ariff.

Ketua pasukan, Kipre Tchetche, hampir menjaringkan gol kedua Terengganu pada minit ke-40 apabila membuat larian solo memasuki kotak penalti tetapi rembatannya tersasar ke sebelah tepi pintu gol pelawat.

Hasrat Sang Penyu untuk membawa kelebihan gol ke bilik persalinan tidak kesampaian selepas Tchetche mensia-siakan hantaran Do Dong-hyun pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Jaringan kedua skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu terhasil pada minit ke-52 melalui Zonjic yang menanduk kemas sepakan penjuru Tuck untuk menceriakan penyokong Terengganu.

Gol itu menyuntik persembahan bertenaga tuan rumah dengan Dong-hyun melepaskan sepakan kencang pada minit ke-58 yang ditepis Sharbinee.

Beraksi menentang negeri kelahirannya, Sharbinee terus cemerlang menggagalkan percubaan menarik Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-72.

Aksi semakin rancak dengan giliran Kuala Lumpur memperkemaskan rentak dan seminit kemudian, rembatan leret Paulo Josue melencong ke sebelah kiri Mohd Suffian Abdul Rahman.

Pemain gantian, Abdul Latiff Suhaimi, menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan dengan menyambung hantaran leret Tchetche, sekali gus memberikan kemenangan 3-1 kepada Terengganu.

Advertisement

Must Watch Video