Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Syed Saddiq sedia jadi orang tengah selesai kemelut Perlis

syed-saddiq_1.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sedia membantu untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pemain bola sepak Perlis ekoran penglibatan pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2019 dibatalkan.

Katanya, walaupun hal berkaitan pemain dan sukan bola sepak terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selaku menteri yang menjaga hal ehwal sukan, beliau sedia berkongsi pandangan dengan badan induk bola sepak itu untuk kepentingan pemain.

“Fungsi saya selaku menteri adalah menjaga kebajikan atlet atau pemain selain menasihati dan berbincang dengan pihak FAM untuk menyelesaikan kemelut yang sering berulang itu.

“Saya lihat FAM juga banyak membantu dalam isu itu, jadi saya yakin kita dapat mencari titik pertemuan untuk membantu mereka yang berkenaan,” katanya mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan beliau dan kementeriannya ekoran kemelut yang melanda pasukan bola sepak Perlis itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain e-sukan FIFA 2019, Muhamad Luqman Haziq Hajiman, yang akan membawa cabaran negara dalam kejohanan kelayakan e-Piala Dunia  FIFA di Singapura, 8 Mac ini.

Pada 20 Februari lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi ahli lembaga pengarahnya sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga-M 2019 berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai setelah penelitian terhadap dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada 18 Februari lalu mendapati sumber pendapatan PFA, termasuk penajaan berdasarkan perancangan kewangan, tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan berkenaan musim ini.

Syed Saddiq berkata kemelut yang merugikan pemain dan perkembangan sukan bola sepak itu boleh dielakkan jika persatuan berkenaan mempraktikkan pengurusan dan perancangan kewangan yang baik.

Tanpa pengurusan dan perancangan kewangan yang baik, pasukan yang gemar membuat pembelian pemain pada awal musim berkemungkinan besar berdepan isu pembayaran gaji yang pastinya situasi itu berlarutan ke hujung musim, katanya.

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video