Skip to main content

Bola Sepak

Syed Ariff mahu pastikan UiTM benam Melaka United

18718syedariff.jpg
Pemain pertahanan pasukan UiTM, Syed Ariff Syed Mohd Uzir, mahu membantu pasukannya menentang Melaka dalam saingan Piala Malaysia meskipun baru pulih daripada kecederaan patah hidung.

Syed Ariff,  yang beraksi di posisi pertahanan, mengalami patah hidung ketika pertemuan Liga Perdana berdepan MISC-MIFA, 10 Julai lalu, yang berkesudahan 3-3.

Biarpun baru sahaja selesai menjalani pembedahan kecil di bahagian hidungnya, Syed Ariff bertegas untuk bermain menentang Melaka dan menyifatkan kecederaan sebegitu adalah lumrah sebagai pemain bola sepak.

Menentang Melaka malam ini, Syed Ariff bakal memakai pelindung muka sebagai langkah berjaga-jaga, dan dia juga bakal menggalas tugas sebagai kapten, selepas Afif Asyraf direhatkan oleh jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail.

"Kecederaan itu semakin kurang menjejaskan prestasi saya, jurulatih memberikan peluang untuk saya beraksi dan saya mahu memastikan memberikan yang terbaik buat pasukan," katanya.

UiTM perlu mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka dalam saingan Piala Malaysia, namun ketumpulan jentera serangan tampak menghantui pasukan itu pada masa kini.

Hanya satu gol mampu dijaringkan daripada dua perlawanan yang diharungi di samping bolos sebanyak lapan gol.

Sandaran utama sudah semestinya kepada penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, memandangkan impaknya dalam Liga Perdana banyak membantu pasukan UiTM musim ini.

"Kami menantikan perlawanan ini dan mahu melakar kemenangan. UiTM telah tewas dalam tiga perlawanan dan kami tidak mahu rentetan itu berpanjangan," kata Akanni.

Advertisement

Must Watch Video