Skip to main content

Bola Sepak

Sukan SEA: Kim Swee fokus persiapan anak buah

kim-swee-300617.jpg
Malaysia mahu menggunakan tiket selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk memohon diberi kebebasan memilih mana-mana kumpulan menjelang undian yang akan diadakan pada 8 Julai ini.

Perkara itu mendapat bantahan daripada Vietnam dan Laos, sekaligus membuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia tampil dengan cadangan lain bagi pilihan format undian tersebut.

Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak mahu memikirkan soal siapa lawan yang menunggu, sebaliknya mahu meletakkan fokus terhadap persiapan anak-anak buahnya.

“Pihak penganjur akan meneliti satu corak undian yang tidak memihak kepada sesiapa.

“Bagi saya, apa yang penting adalah mempersiapkan pasukan agar sentiasa bersedia untuk menghadapi mana-mana lawan,” katanya.

Selain itu, pengendali berusia 46 tahun itu juga tidak menyembunyikan kerisauan kemungkinan pemain-pemain yang dipilih tidak akan dilepaskan oleh pasukan negeri dan kelab ekoran Liga Malaysia yang kembali bersambung hari ini.

“Kami harus lihat dari sudut yang lebih jauh dan saya berharap semua pemain dapat melaporkan diri pada 5 Julai nanti untuk memulakan sesi latihan,” ujar Kim Swee.

Skuad Malaysia akan menghadapi kempen kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 bermula 19 Julai ini di Bangkok, Thailand.

Advertisement

Must Watch Video