Skip to main content

Bola Sepak

Sukan Asia: Skuad B-23 negara lupakan khidmat Davies, Nor Azam

azam-davies.jpg
Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menganggap dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Azih, sebagai 'gagal hadir' selepas kedua-dua pemain tersebut tidak memberi sebarang reaksi dalam tempoh 24 jam sejak semalam. 

Tiada sebarang penjelasan diberikan oleh mereka, lalu membuatkan Kim Swee perlu terus melupakan kelibat mereka untuk membantu skuad B-23 negara dalam misi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. 

Sungguhpun Kim Swee tetap berlembut dengan memberi peluang kepada mereka untuk melaporkan diri sehingga hari ini, situasi itu langsung tidak digunakan kedua-dua pemain tersebut untuk sekurang-kurangnya memberi alasan di atas kegagalan mereka melaporkan diri mengikuti kem latihan.

"Saya menganggap kedua-dua pemain ini sebagai tidak adil. 

"Sehingga hari ini, saya masih tidak mendapat sebarang maklum balas dan adalah lebih penting untuk saya memberi fokus kepada pemain sedia ada," kata jurulatih itu. 

Selain itu, Kim Swee turut kehilangan sentuhan pertahanan senior negara, Aidil Zafuan Abdul Razak serta Syamil Kutty Abba, yang mengalami kecederaan.

Lebih menyulitkan Kim Swee, Shahrul Saad yang sepatutnya menggantikan tempat Aidil bagi kuota pemain lebih umur turut tidak dapat beraksi ekoran kecederaan yang memerlukan tempoh masa hampir dua minggu untuk pulih.

"Pada awalnya saya menyenaraikan Shahrul Saad tetapi malangnya dia turut ditimpa kecederaan yang memerlukan masa yang agak panjang untuk pulih. 

"Saya terpaksa mengetepikannya dan hanya boleh memanggil 30 pemain yang berada dalam senarai awal seperti yang ditetapkan peraturan kejohanan," tambahnya.

Skuad negara akan berlepas ke China esok sebagai persediaan akhir sebelum tiba di Indonesia untuk menghadapi saingan sebenar Sukan Asia pada 8 Ogos depan.

Advertisement

Must Watch Video