PIALA FA
Suffian mahu jersi no.1 Terengganu
Masuk sebagai pemain gantian, namun penjaga gol simpanan Terengganu, Suffian Rahman, tetap memainkan peranan penting dalam memastikan kemaraan pasukannya ke separuh akhir Piala FA, Jumaat lalu.
Pertemuan di Stadium Negeri, Kuching itu menyaksikan Suffian berada di bangku simpanan selepas Amierul Hakimi Awang diberi tanggungjawab menjaga benteng terakhir pasukan.
Begitupun, gegaran yang dialami di kepala oleh Amierul menyaksikan Suffian menjadi harapan buat pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.
Iklan
Nyata pemain berusia 36 tahun ini membuktikan dia masih mampu jadi wira pasukan apabila menyelamatkan percubaan pemain Sarawak, Mateo Roskam, dalam penentuan sepakan penalti.
Malah, berdasarkan daripada aksi itu juga sedikit mendatangkan rasa gentar kepada seorang lagi pemain Sarawak, Demerson Bruno Costa, yang menyaksikan sepakannya jauh tersasar.
"Setiap habis sesi latihan, kami menjalani latihan sepakan penalti. Jadi, daripada situ kami mendapat pengetahuan untuk menangani situasi itu," ujar Suffian.
Dalam pada itu, Suffian menaruh keyakinan aksi di Kuching itu mampu memberi peluang buat dirinya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Peteh.
Kecederaan yang dialami penjaga gol utama, Syazwan Yusoff, di samping masalah kesihatan yang dialami Sharbinee Alawi menyaksikan Suffian dan Amierul bersaing hebat untuk kedudukan nombor satu itu.
Berdasarkan kecederaan yang dialami Amierul di Kuching, tidak mustahil Suffian sekali lagi akan menggalas tugas dalam aksi Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim II di Pasir Gudang, esok.
"Saya rasa buat masa sekarang, penjaga gol yang ada mengalami kecederaan. Perjalanan kami masih jauh, pemain perlu fokus dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," tambah Suffian.
Must-Watch Video