Skip to main content

Bola Sepak

Strootman mahu balas budi Roma

kevin-strootman.jpg
Kevin Strootman mahu kekal di Roma untuk jangka masa panjang sebagai membalas budi kelab Serie A itu yang terus memberikannya sokongan di sebalik masalah kecederaan serius.

Strootman 20 kali memperkuatkan Roma 24 perlawanan liga musim ini untuk membantu Giallorossi menghuni tangga keempat, sekaligus menghampiri kelayakan Liga Juara-Juara (UCL). 

Pemain antarabangsa Belanda itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool bulan lalu setelah membuktikan keupayaan biarpun hanya tampil 11 kali sepanjang kempen 2015 dan 2016.

Begitupun, pemain tengah berusia 28 tahun itu mengesahkan dia melihat masa depannya tetap di Roma tanpa mengira spekulasi yang mengaitkannya.

"Saya telah melanjutkan kontrak dan ingin tinggal di sini dalam jangka masa yang lama," kata Strootman yang menandatangani perjanjian jangka panjang pada Mei lalu kepada Sky Italia.

"Saya mempunyai penghargaan yang mendalam terhadap Roma yang sanggup menunggu saya selepas tiga pembedahan, saya tidak akan melupakannya.

"Saya mahu bermain dalam UCL tahun depan, saya berharap kami menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas liga biarpun kami gagal mencabar Napoli dan Juventus dalam saingan di puncak."

Perlumbaan gelaran Serie A membabitkan saingan sengit di antara Napoli dan juara bertahan, Juventus, yang menyaksikan anak buah Maurizio Sarri memiliki kelebihan satu mata dengan 14 perlawanan tersisa. 

Advertisement

Must Watch Video