Skip to main content

Bola Sepak

Sneijder buktikan sentuhan emas

wesley-sneijder-100617.jpg
BELANDA 5 LUXEMBOURG 0 

Wesley Sneijder meledak gol dalam perlawanan yang menyaksikan dia muncul sebagai pemain yang paling banyak membuat penampilan bersama Belanda sehingga menerbitkan emosi jurulatihnya, Dick Advocaat.


Dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi, Advocaat kembali selaku pengendali Oranje buat kali ketiga, dengan Sneijder -- turut meraikan hari jadinya yang ke-33 -- menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 5-0 ke atas Luxembourg untuk memecah rekod penampilan antarabangsa sebanyak 131 perlawanan milik Edwin van der Sar. 

Kemenangan dramatik Sweden ke atas Perancis serta Bulgaria mengatasi Belarus menyalakan semula harapan Belanda dalam Kumpulan A dan Advocaat menghamburkan pujian terhadap sumbangan pemain tengah itu. 

"Saya sedikit emosi," kata Advocaat, 69, kepada NOS. 

"Atas faktor umur, saya sudah tersentuh ketika lagu kebangsaan berkumandang. 

"Hantaran Sneijder masih luar biasa kualitinya. Terdapat segelintir pemain di dunia yang mampu melakukannya. Kami harus menggunakan kelebihannya selama yang boleh."

Arjen Robben, Georginio Wijnaldum, Quincy Promes dan Vincent Janssen turut mencetak nama selaku penjaring dalam kemenangan meyakinkan Oranje dan kini hanya dipisahkan jurang tiga mata dengan pendahulu, Sweden serta Perancis tatkala kempen itu berbaki empat perlawanan.

Dengan watak pemain berjersi nombor 10, Advocaat memberi isyarat bahawa posisi perancang itu mungkin akan berubah menjelang pertembungan dengan Perancis, Ogos depan. 

"Bertemu Perancis, dia mungkin beraksi di posisi berbeza," tambah Advocaat. 

"Pada penghujung Ogos, semua pemain harus memastikan mereka dalam keadaan cergas. Kami akan memantau rapi mengenainya. 

"Kami harus merebut puncak kedudukan. Dua perlawanan menentang Perancis dan Bulgaria selepas tempoh bercuti adalah sangat penting. Ia tempoh yang sukar kerana ramai pemain belum pasti masa depan mereka."

 

Advertisement

Must Watch Video