Skip to main content

Bola Sepak

Skuad Piala Presiden Sarawak sasar suku akhir -- S. Veloo

30116s_veloo.jpg
Kedudukan empat teratas liga atau sekurang-kurangnya mara ke saingan suku akhir menjadi idaman skuad Piala Presiden Sarawak pada musim ini.

Ketua jurulatihnya, S.Veloo, berkata sasaran tersebut bukan sesuatu yang mustahil kerana pasukan Ngap Sayot sebelum ini pernah muncul sebagai finalis piala tersebut, pada tahun 1997.

"Kerana itu saya bertekad untuk mengulangi kejayaan itu," katanya.

Kurang 60 hari memimpin skuad muda Sarawak, Veloo mempertaruh pengalamannya sebagai jurulatih skuad Liga Super, Pulau Pinang, pada tahun 2009 hingga 2012 untuk mencapai sasaran.

Pemegang Sarjana Kejurulatihan Bola Sepak daripada Universiti Centre Lancashire, London itu memohon daripada pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk memimpin pasukan bawah 21 tahun itu.

"Saya pernah memimpin pasukan bawah 21 tahun Pulau Pinang pada 2014 dan mereka layak ke perlawanan akhir selepas 11 tahun.

"Saya seronok untuk mengulangi kejayaan yang sama, " kata Veloo, yang dibantu oleh Sulaiman Mustanir dan P. Mohana Sundram.

Tambah Veloo, senarai 25 pemain telah dimuktamadkan dan bagi menghadapi permulaan saingan pada Februari ini dan telah memulakan persiapan sejak sebulan lalu.

"Pada perlawanan pramusim, kami telah menguji beberapa pasukan di Kuala Lumpur dan dalam tiga perlawanan persahabatan itu, kami menang, kalah dan seri sekali."

Veloo berkata, selepas hampir sebulan bersama, dia semakin yakin akan kemampuan anak buahnya.

"Mereka bermain dengan baik dan semakin serasi. Keputusan yang ditunjukkan juga semakin baik. Saya berharap tahun ini kami dapat melangkah lebih jauh.

"Dalam kem saya juga ada pemain-pemain berbakat besar termasuk pemain kebangsaan peringkat bawah 16 dan 18 tahun.

"Abang Nurfirman Abang Nor Azman, 19,  dan Nor Azizi Ramlee, 21, yang berada dalam Piala Presiden untuk tahun keempat dan pemain yang baru dimasukkan ke dalam projek Sukan SEA 2018, Rodney Celvin Akwensivie atau Bonai selain Azman Chuchu.

"Mereka ini adalah bakat-bakat muda yang harus diberi perhatian pada musim ini."

Katanya, kesemua 25 pemain skuad itu sudah bersedia dan sudah mempunyai bayangan siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama nanti.

"Kini kami sedang menunggu genderang perang untuk memastikan sasaran kami tidak tersasar lagi," katanya.

Advertisement

Must Watch Video