Skip to main content

Bola Sepak

Simeone yakin kejar Barcelona walaupun tewas

atleti.jpg
Diego Simeone tetap tidak berputus asa untuk pasukan kendaliannya, Atletico Madrid, mengejar Barcelona dalam kejuaraan liga walaupun mencatat kekalahan kedua musim ini di tangan Real Betis, awal pagi tadi.

Selepas Barca bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Valencia kelmarin, Atletico berpeluang untuk merapatkan jurang kepada tiga mata menerusi kemenangan di Seville.

Namun, mereka gagal melakukannya dalam aksi di Benito Villamarin selepas Sergio Canales menyempurnakan sepakan penalti dalam babak kedua untuk mengesahkan kemenangan 1-0 buat tuan rumah.

Kekalahan itu meletakkan Atletico kini enam mata di belakang Barca sambil memiliki baki 16 perlawanan, namun Simeone yakin anak buahnya masih mampu mengejar pendahulu LaLiga itu.

"Saya sentiasa yakin. Saya gembira Barca seri dan tidak begitu jauh daripada kami," katanya.

"Barca masih mampu dikejar dan kami akan terus bekerja keras."

Aksi awal pagi tadi menyaksikan Alvaro Morata melakukan penampilan pertama sejak kembali ke Sepanyol daripada Chelsea tetapi hanya satu daripada empat percubaan penyerang itu yang tepat ke sasaran dalam tempoh 90 minit.

Bagaimanapun, Simeone tetap gembira dengan penambahan baru dalam pasukan dan berharap jaringan akan tiba apabila Morata menyesuaikan diri bersama Rojiblancos.

"Morata hadir ke sini dan bekerja keras. Dia gembira untuk beraksi. Kami berharap dia dapat berkembang bersama pasukan," tambah Simeone.

Advertisement

Must Watch Video