Diego Simeone menyatakan hasratnya untuk kekal bersama Atletico Madrid bagi mengetepikan segala khabar angin mengenai dirinya yang mahu berhijrah dari Vicente Calderon.
Di bawah kendalian Simeone, Atletico mencabar kuasa besar LaLiga, Real Madrid dan Barcelona, dengan memenangi takhta itu pada musim 2013-14, dan mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL).
Selepas menamatkan saingan liga dalam kelompok tiga terbaik dalam tempoh empat musim, Atletico kini sekadar menduduki tangga keenam, ketinggalan sembilan mata kepada pendahulu liga, Real.
Kontrak Simeone bakal berakhir penghujung musim hadapan tetapi beliau telah dikaitkan untuk kembali ke bekas kelabnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin, berkata minggu ini bahawa beliau yakin Simeone akan kekal bersama pasukan itu sehingga kontraknya tamat.
"Saya tidak akan meninggalkan Atletico, saya akan terus bersama pasukan sehingga tamat kontrak saya di sini," ujar Simeone.
Selain Inter, Simeone turut dikaitkan bakal mengambil alih tugas Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal.