UEL
Simeone nafi bakal ganti Wenger
Diego Simeone tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Arsenal tentang prospek menggantikan Arsene Wenger dan menegaskan dia gembira di Atletico Madrid kerana pasukannya bersedia untuk aksi separuh akhir Liga Europa yang dijangka penuh semangat.
Jumaat lalu, Wenger mengumumkan beliau akan menamatkan tempoh 22 tahun sebagai pengurus Arsenal dan Simeone dilihat sebagai salah seorang calon untuk jawatan di Stadium Emirates itu.
Bagaimanapun, bercakap dalam sidang media pra-perlawanan, pengurus berbangsa Argentina itu kekal menegaskan penghijrahan tiada dalam agendanya dan memuji rakan sejawatannya berusia 68 tahun itu.
Iklan
"Tidak, saya tidak bercakap dengan sesiapa di Arsenal," katanya menjelang pertembungan awal pagi esok. "Saya seronok di Atletico.
"Perkara pertama yang diingati (mengenai Wenger) adalah kekaguman. Dia perlu mencipta semula dirinya.
"Saya melihat diri saya sebagai seorang jurulatih muda dan saya ingin melihat dan belajar daripadanya. Kedudukannya dalam bola sepak adalah indah,"ujarnya.
Simeone mendapat rangsangan apabila penyerang, Diego Costa, disahkan cergas daripada masalah hamstring.
Semasa di Chelsea, Costa sering menjadi duri dalam daging terhadap The Gunners sementara Simeone mengenal pasti perancang tengah, Mesut Ozil, sebagai watak utama Arsenal.
"Dia mempunyai visi yang luar biasa," katanya. "Dia mengurus kepantasan gerakan Arsenal -- jika dia ingin pasukannya bermain dengan pantas, dia akan membuat mereka bermain dengan cepat.
"Terserah kepada kami untuk menjadikannya permainan seperti yang diidamkan dan kami perlu berani."
Atletico akan turun dengan prestasi tanpa sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir LaLiga.
"Sejak tiba di Madrid, pasukan ini bertambah baik dan kritikan telah meningkat kerana kami telah menaikkan tanda aras," tambah Simeone.
"Saya gembira di mana saya berada sekarang. Saya berharap kami boleh bermain dengan kebebasan mental di tempat lawan di mana Arsenal sangat mantap. Anda memerlukan keberanian untuk mara ke final."
Must-Watch Video