Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Silva: Brazil sedia berdepan Belgium

thiagosilva.jpg
Thiago Silva bersedia untuk berdepan Belgium dalam aksi suku akhir dan menyatakan Brazil tidak boleh terlalu selesa dengan status pilihan juara Piala Dunia.

Silva membantu Selecao meraih kemenangan 2-0 ke atas Mexico -- jaringan Neymar dan Roberto Firmino memastikan mereka menempah slot suku akhir di Samara.

Halangan seterusnya buat juara dunia lima kali itu adalah kunjungan ke Kazan, Jumaat ini, bertemu Belgium, yang turut menampilkan kebangkitan untuk menewaskan Jepun 3-2 dalam aksi pusingan kalah mati, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Tite itu dilihat sebagai pilihan untuk mencipta kejayaan buat kali keenam di Russia, terutama dengan ketiadaan Jerman, Argentina, Portugal dan Sepanyol yang telah tersingkir.

Tetapi Silva menyedari tiada jaminan buat mereka untuk mencipta kejayaan dengan skuad kendalian Roberto Martinez itu menanti mereka dalam perlawanan seterusnya.

"Mereka adalah pasukan yang sangat berkualiti daripada segi fizikal dan teknikal. Belgium berhak melepasi pusingan kalah mati," katanya.

"Saya berasakan dalam semua kejohanan, Brazil adalah pasukan pilihan tetapi kami mengetahui ia tidak mencukupi.

"Kami perlu bekerja keras dan mempamerkan persembahan terbaik jika mahu menjulang Piala Dunia. Kami akan terus bekerja dan berehat secukupnya kerana aksi seterusnya merupakan satu pertembungan yang sukar," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video