Skip to main content

Bola Sepak

Shaw label Manchester United kurang semangat sepasukan

shaw.jpg
MANCHESTER UNITED 0 WOLVES 1 

Luke Shaw berasakan Manchester United tidak bersatu hati dalam kekalahan mereka kepada Wolves sambil mencadangkan mereka tidak mempunyai kualiti yang cukup untuk berjaya.


Permulaan tanpa kalah mereka di bawah pengurus sementara, Ralf Rangnick, berakhir awal pagi tadi apabila Joao Moutinho yang berusia 35 dan 117 hari menjadi pemain tertua yang menjaringkan gol kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford ketika memberikan Wolves kemenangan 1-0.

Kekalahan itu menyebabkan United ketinggalan empat mata di belakang Arsenal bagi perebutan slot terakhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas gagal menyumbat gol liga buat kali keempat di tempat sendiri musim ini, ia sudah pun melepasi catatan kempen 2020-21 (tiga).

Justeru, Shaw meratapi prestasi pasukannya sambil mempersoalkan semangat sepasukan mereka sambil menjelaskan hanya pemain kualiti sahaja akan bertahan di dalam pasukan kendalian Rangnick itu. 

Dia memberitahu Sky Sports selepas perlawanan: "Ia tidak cukup bagus, kami benar-benar bergelut, kami tidak mampu menguasai bola dan apabila kami kehilangan bola, kami tidak cukup agresif. Kami tidak meletakkan pemain lawan di bawah sebarang tekanan.




"Ia mungkin kelihatan seperti satu perlawanan yang mudah bagi mereka. Ia satu persembahan dan keputusan yang mengecewakan. Kami tidak mempunyai banyak pilihan mengenai bola dan kami tidak mengasak.

"Kami perlu memberi lebih banyak tekanan kepada pasukan lawan. kami perlu mempunyai keamatan. Sebagai pemain, kami sudah lama di sini, mungkin malam ini kami bergelut, saya tidak anggap kami semua bersatu hati. 

“Lihatlah pemain yang kami ada, kami mempunyai kualiti yang luar biasa tetapi kadangkala sahaja kualiti tidak mencukupi.

"Kami perlu membawa keamatan dan lebih banyak motivasi. Di dalam bilik persalinan, kami sedar tentang apa yang kami mahukan tetapi di luar padang kami perlu memberikan 100 peratus. Untuk memenangi perlawanan seperti ini kami semua perlu komited 100 peratus. Ini satu keputusan yang sukar dan mengecewakan."

United berpeluang untuk membetulkan beberapa kesilapan mereka dan kembali berdaya saing dalam kempen musim ini apabila bertemu Aston Villa pada 16 Januari ini dalam perlawanan liga seterusnya -- lima hari selepas menghadapi lawan yang sama dalam Piala FA.

Advertisement

Must Watch Video