Skip to main content

Bola Sepak

Shahrom sedia digandingkan dengan Aidil

shahrom-kalam-010617_1.jpg
Pemain pertahanan negara, Shahrom Kalam, menerima baik kehadiran Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak bersama skuad negara, malah dia memberi bayangan sedia untuk digandingkan semula bersama tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu. 

Shahrom pernah beraksi bersama Aidil untuk membentuk gandingan mantap ketika skuad negara memenangi kedua-dua aksi play-off pusingan kelayakan Piala Asia 2019, Jun tahun lalu. 

Paling mencuri tumpuan, kubu negara langsung tidak dibolosi sepanjang 180 minit, sekaligus membayangkan mereka berdua antara gandingan ideal di posisi pertahanan tengah.

Bagi Shahrom, dia gembira dengan kehadiran Aidil kerana berpendapat pemain JDT itu masih antara pertahanan terbaik di negara ini. 

"Saya gembira (dengan kehadiran Aidil) sebab ia persaingan yang sihat dan kita dapat mengumpul pemain berkualiti. Itu antara aspek-aspek penting untuk mendapatkan pasukan terbaik. 

"Ia sesuatu yang positif. 

"Kami pernah bergandingan dalam dua perlawanan ketika bertemu Timor Leste.

"Dia merupakan pemain yang baik dan berpengalaman. Bagi saya, dia perlu ada dalam pasukan," ujar pemain Perak itu. 

Tonggak Perak itu berharap aksi sulung bertemu Lubnan pada 13 Jun ini mampu menjadi permulaan baru buat Harimau Malaya mencipta sejarah gemilang. 

Dia cukup optimis skuad negara mampu melakar sesuatu dengan menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik saingan peringkat Kumpulan B pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019. 

"Mungkin ini masanya untuk kami mencapai sesuatu bersama pasukan negara, bermula dengan pertemuan dengan Lubnan.

"Saya harap kami dapat mencapai keputusan yang positif. 

"Semua pemain harus tahu tanggungjawab masing-masing, tidak mustahil kami akan melepasi halangan ini."

Advertisement

Must Watch Video