Skip to main content

Bola Sepak

Shafie mahu keputusan perwakilan SAFA dihormati

img-20180825-wa0025.jpg
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mahu semua pihak menerima keputusan perwakilan dalam pemilihan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang berlangsung di Kota Kinabalu, 25 Ogos lalu.

Perwakilan telah membuat keputusan dan kini tiba masanya mereka yang dipilih melaksanakan tugas dengan baik dan penuh dedikasi.

"Mereka dipilih oleh perwakilan dan bukannya saya yang membuat keputusan. Ia adalah satu proses demokrasi dan perwakilan bebas memilih siapa yang layak memimpin SAFA," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, bekas setiausaha agung SAFA, Alijus Sipil, dipilih sebagai presiden baru SAFA manakala ahli perniagaan yang juga adik kepada Mohd Shafie, Hamid Apdal, serta Datuk Rahman Zakaria masing-masing memenangi dua jawatan timbalan presiden yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, Hamid kemudian mengumumkan meletak jawatan sebagai timbalan presiden persatuan itu hanya tiga hari selepas pemilihan diadakan.

Mohd Shafie ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Hamid sebagai timbalan presiden SAFA menjelaskan beliau hanya menasihatkan adiknya supaya memberi laluan kepada individu yang lebih berkebolehan untuk menerajui kempimpinan SAFA. 

"Saya pun tidak tahu, saya cuma nasihatkan adik saya saja, bukan saya mahu sekat apa yang dia minat tetapi ada lagi individu lain yang berkebolehan."

Sementara itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri sedia membantu SAFA bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri itu, namun bukan sepenuhnya berlandaskan kewangan.

"Apa yang penting, SAFA perlu diurus tadbir dengan baik oleh mereka yang berkebolehan dalam bidang berkenaan dan SAFA juga perlu ada pendekatan baru bagi membangunkan bola sepak.

"Bukan sekadar kalau ada duit baru boleh berjaya, kita harus menggunakan sebaik mungkin sumber yang ada. Kita mempunyai latihan dan prasarana, kenapa kita tidak boleh berjaya walaupun tiada duit," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video