Skip to main content

Bola Sepak

Setiap perlawanan Melaka bakal jadi sukar -- Williams

8117ericwilliam.jpg
Jurulatih Melaka United, Eric Williams, menuntut pemainnya agar mengubah mentaliti bagi menghadapi cabaran berbeza dalam saingan Liga Super musim ini.

Sekalipun diberi nafas baru menerusi kehadiran beberapa tonggak ternama, pemain lain pasukan itu tampak masih cetek pengalaman di pentas Liga Super.

Perkara itu tidak dinafikan Williams yang menjangkakan skuad Hang Tuah bakal melalui ranjau berliku musim ini.

"Saya jangkakan setiap perlawanan akan menjadi sukar kerana kami masih baru. Kami memiliki ramai pemain baru, termasuk pemain luar, selain (Ilija) Spasojevic. 

"Mereka bermain dalam Liga Perdana sebelum ini dan kami mengharapkan perbezaan mentaliti. Mereka perlu bermain dengan perbezaan mentaliti dalam liga yang lebih tinggi," katanya di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Ujian lebih getir menanti bekas jurulatih Yangon United itu apabila Melaka terpaksa beraksi di tempat lawan untuk tiga perlawanan pertama berikutan proses baik pulih Stadium Hang Jebat masih belum siap sepenuhnya.

"Saya mengharapkan perlawanan pertama diadakan pada 11 Februari. Beberapa perlawanan awal mungkin akan menjadi sukar bagi kami," tambahnya.

Melaka muncul pendatang baru dalam Liga Super 2017 selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Skuad itu kini berada di Kemboja bagi menjalani latihan selama lapan hari bermula 3 Januari lalu.

Di bawah bimbingan Williams, Melaka merekrut 19 pemain baru selepas mengekalkan sembilan pemain lama, antaranya kapten, Spasojevic, Ahmad Khuzaimi Piee, R. Surendran dan Nurshamil Abd Ghani.

Amri Yahyah, Fauzi Roslan, Faizal Muhammad dan Khairu Azrin Khazali adalah antara pemain baru ternama yang memperkuatkan skuad Hang Tuah musim ini.

Advertisement

Must Watch Video