Sergio Ramos berkata dia tidak dapat mengelakkan rasa gembira melihat musuh ketat, Barcelona, tewas dalam Liga Juara-Juara sambil dia sendiri menikmati kemenangan bersama Real Madrid.
Tiada rahsia mengenai perasaan saling membenci di antara Madrid dan Barcelona, dan hakikat pasukan dari ibu kota Sepanyol itu dapat menonton dengan seronok pasukan dari Catalan itu mengalami kekalahan 4-0 yang mengaibkan kepada Paris Saint-Germain (PSG), kelmarin.
Barca kini menghadapi tugas menggunung dalam perlawanan peringkat kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara sambil Madrid berkedudukan lebih selesa selepas kemenangan 3-1 di tempat sendiri ke atas Napoli, awal pagi tadi.
Ditanya sama ada dia gembira dengan kekalahan Barca di Paris, Ramos memberitahu wartawan: “Saya tidak akan mengatakan tidak.
“Saya tidak suka melihat kawan-kawan saya sengsara tapi jelas sekali saya tidak suka Barcelona untuk menang.”
Bekas pemain sayap Madrid, Angel Di Maria, merangsang kemenangan besar di Parc des Princes, dengan menyumbat dua gol pada hari jadinya, tapi jurang sedemikian tidak memeranjatkan Ramos.
“Saya tidak terkejut,” tambahnya.
“Apa yang saya maksudkan ialah dalam Liga Juara-Juara, mana-mana pasukan akan terhukum oleh persembahan buruk. PSG mengharungi satu perlawanan yang hebat, dengan mengenakan tekanan dalam serangan.”
Sebagai perbandingan, pendahulu LaLiga itu berada di landasan tepat untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan perbezaan dua gol ke atas Napoli.
Madrid, bagaimanapun, harus berasa cemas dengan kecederaan Ramos yang terpaksa dikeluarkan ketika permainan berbaki 19 minit.
“Saya menerima hentakan di pinggul dan otot aduktor tapi saya bertahan selama yang boleh sehingga keputusan lebih selesa,” kata pemain pertahanan Sepanyol itu. “Harap-harap ia bukan berkaitan dengan kecederaan otot.”