Kehilangan ramai tonggak utama musim lalu tidak melunturkan keyakinan pengendali Selangor, P. Maniam, untuk merebut lima tempat teratas dalam saingan Liga Super musim ini.
Ketika mengendalikan sesi latihan pertama Selangor awal bulan ini, Maniam meletakkan sasaran untuk pasukan itu sekadar kekal dalam Liga Super.
Namun, selepas tiga aksi persahabatan, Maniam berubah nada dan percaya dia mampu membentuk kombinasi ampuh yang mampu berada dalam kalangan lima pasukan teratas liga.
"Kerana itulah, kami perlu berusaha keras, komitmen pemain juga sangat tinggi.
"Bukan mudah untuk menghuni kelompok lima terbaik. Namun, jika kami melakukan persiapan dengan baik, saya yakin kami mampu," ujarnya.
Gandingan pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan tonggak senior yang kekal dalam pasukan menjadi sandaran Maniam untuk memberi cabaran dalam saingan musim ini.
Bekas pemain Harimau Muda C, Badrul Aamin Rusalan dan Muhammad Syami Safari, adalah antara pemain muda yang bakal menjadi sandaran jurulatih itu.
"Pemain bawah 21 tahun telah memberikan impak yang amat baik, antaranya Shamin, Kannan, Badrul dan Faiz.
"Saya nampak mereka mempamerkan keserasian bersama pemain senior. Saya rasa mereka ada peluang yang baik untuk mewakili kesebelasan utama," tambah Maniam.