Skip to main content

Bola Sepak

Selangor masih gagal isi slot import terakhir

17117maniam.jpg
Jurulatih Selangor, P. Maniam, terpaksa mengambil risiko mempertaruhkan dua pemain import dalam aksi Liga Super pertama mereka berdepan Pulau Pinang selepas kesuntukan masa untuk mendapatkan calon import terakhir.

Selepas enam aksi persahabatan, Selangor masih terkial-kial mendapatkan penyerang import untuk menjadi gandingan Francis Forkey Doe.

Walaupun ramai calon import datang mencuba nasib, tiada seorang pun dapat menambat hati Maniam.

Tidak mahu bersikap tergesa-gesa, Maniam sedia mengambil risiko menyenaraikan pemain import terakhir, sehari sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain, 22 Januari ini.

Selain Forkey Doe, Selangor sudah sah mengekalkan dua tonggak import musim lalu, Ugo Ukah dan Andik Vermansyah.

"Minggu ini, dua pemain akan datang. Jadi, kami akan lihat prestasi pemain itu. Dari situ, kami dapat menilai sama ada dia boleh bermain dalam perlawanan berikutnya di Melaka," katanya. 

Mengenai persiapan bertemu Pulau Pinang, Maniam berdepan keresahan apabila mungkin terpaksa mengetepikan khidmat dua penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dan Norazlan Razali.

Diminta mengulas mengenai kemungkinan memberi peluang kepada penjaga gol muda, Zarif Irfan Hashimuddin, Maniam berkata dia hanya akan buat keputusan pada Jumaat ini.

"Kami akan lihat keadaan ataupun prestasi Azlan sambil mempersiapkan Irfan. Kalau Irfan diberi bermain dalam kesebelasan utama, saya rasa dia boleh menunjukkan komitmen yang tinggi," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video