Setelah mencipta kemenangan pada empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super akhirnya Selangor tumpas di tangan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Ia juga merupakan kekalahan kedua Gergasi Merah itu dalam saingan Liga Super namun ia masih tidak merubah kedudukan di tangga kedua liga setakat ini.

Namun, pemain-pemain Gergasi Merah terutama di bahagian pertahanan perlu menyalahkan diri sendiri di atas kesilapan yang telah mereka lakukan sebagaimana kesilapan Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem Zulpakar yang memberi hadiah sepakan penalti serta jaringan sendiri.



Tetapi daripada segi permainan di antara Sang Badak dan Gergasi Merah Kuning itu tiada bezanya kerana mereka banyak menggunakan kekuatan yang ada khususnya di bahagian midfield dan sayap.

Jika diperhatikan kombinasi di antara Faisal Halim, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Brendan Gan, mereka banyak memberi tekanan kepada pertahanan Sang Badak sehingga membuatkan Khairul Fahmi Che Mat terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan beberapa percubaan Faisal dan Mukhairi.

Namun, penyudah yang agak tumpul telah membawa satu keputusan yang negatif kepada anak didik Tan Cheng Hoe dan di sini juga pengendali Selangor itu perlu memikirkan sesuatu untuk mencari penyerang import yang berwibawa dalam pintu perpindahan dibuka.





Ia sungguh berbeza dengan pencapaian anak didik Dato Ong Kim Swee di laman sendiri pula kerana setakat ini mereka tidak belum di Stadium Likas dan dari prestasi ini mengimbau kembali pada era 90-an ketika pada zaman kegemilangan Sang Badak.

Atas faktor ini tidak mustahil pemain-pemain negeri Di Bawah Bayu itu mampu mencabar Selangor bagi merebut tempat kedua.

Jika pemain-pemain mereka seperti Badrol Bakhtiar,Rizal Ghazali, Saddil Ramdani, Darren Lok, Stuart Wilkin dan Park Tae-su dapat memimpin dan membimbing rakan-rakan lain, pasti Sang Badak akan menjadi pasukan pilihan berbanding Selangor untuk tempat kedua Liga Super musim ini.



Itulah kekuatan yang ada pada skuad kendalian Ong Kim Swee musim ini kerana mereka memiliki gabungan pemain import dan tempatan yang baik sekali bagi melakar satu wajah keceriaan dan keharmonian di dalam pasukan.

Lihat sahaja bagaimana mereka mengawal situasi permainan yang baik walaupun dalam tekanan setelah diasak secara bertubi-tubi oleh pemain-pemain Selangor.

Persefahaman dan semangat kerja berpasukan selain percaya antara satu sama lain itu juga faktor kejayaan pemain-pemain Sang Badak semalam.

Sementara itu, kepada pemain-pemain Selangor jangan berputus asa sebaliknya perlu terus bangkit selepas ini walaupun mereka agak kurang senang dengan keputusan pengadil semalam dan jangan menjadikan ia sebagai alasan untuk menutup kelemahan diri, sebaliknya perlu terus bersikap positif dan terbuka.