Skip to main content

Bola Sepak

Selangor berhak menang -- Maniam

p-maniam_1.jpg
Pengendali Selangor, P. Maniam, menyifatkan pasukannya berhak untuk menang selepas jaringan Rufino Segovia dalam masa kecederaan memastikan mereka mengatasi Terengganu 3-2 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Maniam mengakui anak-anak buahnya gagal bermain dengan baik, malah melakukan hantaran-hantaran yang negatif.

Namun, menurutnya, perubahan pada 45 minit kedua menunjukkan keinginan daripada pemain-pemain dalam mencipta lebih peluang menjaringkan gol.

“Cara kami bermain sangat menggalakkan dengan semangat juang yang tinggi dan kami berhak untuk menang.

“Kejayaan layak ke suku akhir ialah ‘hadiah’ kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Subahan Kamal, yang bekerja keras menjaga kebajikan pasukan,” ujar Maniam.

Bagi Terengganu pula, kekalahan ini bermakna peluang merebut satu lagi slot ke suku akhir semakin sukar dan Irfan Bakti Abu Salim mengakui tumpuan kini akan diberikan kepada Liga Perdana.

Menurut Irfan, mereka hilang disiplin serta tumpuan ketika rancak melakukan serangan dan kedudukan dua pertahanannya mengakibatkan Terengganu kehilangan bola.

“Kami dibolosi dengan dua sepakan percuma dan satu kesilapan sendiri.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati walaupun hilang fokus, terutama gol ketiga lawan. Kesudahan perlawanan ini tidak menyeronokkan,” katanya.

Dalam aksi dramatik itu, Terengganu terlebih dahulu mendahului selepas Ismail Faruqi Ashari melakukan tindakan susulan apabila Norazlan Razali gagal menangkap kemas percubaan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-23.

Dengan babak pertama didominasi tuan rumah, skrip babak berikutnya nyata berbeza yang menyaksikan Selangor bangkit mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-51 melalui sepakan percuma Francis Forkey Doe.

Empat minit kemudian, pasukan pelawat mengejutkan lebih 7,000 penyokong tuan rumah dengan mendahului 2-1 selepas Muhammad Syahmi Safari menyambung sepakan percuma Mohd Raimi Md Nor.

Serangan bertali arus Terengganu membuahkan hasil dan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-77 menerusi Kipre Tchetche yang menanduk hantaran Adib Aizuddin dari sebelah kiri.

Keghairahan Terengganu menyerang memerangkap diri sendiri dengan Selangor menamatkan perlawanan dengan gol kemenangan Segovia dalam masa kecederaan.

Aksi seterusnya di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu di Larkin akan menentukan pasukan yang akan mengekori Selangor ke suku akhir.

Advertisement

Must Watch Video