Skip to main content

Bola Sepak

Segovia, Syahmi bantu Selangor raih kemenangan

7218selangor.jpg
SELANGOR 4 MELAKA UNITED 1

Selangor terus mempamerkan persembahan cemerlang apabila merekodkan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Melaka United 4-1 di Stadium KLFA, Cheras, sebentar tadi.


Skuad kendalian P. Maniam itu mengharungi permulaan baik dalam saingan musim ini. Setelah mencipta kemenangan dalam aksi sulung ketika bertemu Kuala Lumpur, mereka meneruskan momentum yang sama ketika menerima kunjungan Melaka.

Selangor hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan, dengan bintang The Red Giants, Rufino Segovia berjaya melepaskan rembatan untuk memberikan gol pendahuluan buat Selangor.

Melaka bangkit menyamakan kedudukan selepas 30 minit berlangsung, Tiago Gomes menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Melaka yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dalam aksi terdahulu, mempamerkan persembahan yang lebih meyakinkan selepas jaringan penyamaan tersebut dan melakukan beberapa asakan ke arah kubu pertahanan Selangor.

Kesilapan penjaga gol Melaka, Zamir Selamat, menghukum Melaka apabila gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti dan kesempatan itu diambil oleh Syahmi Safari untuk meletakkan Selangor kembali di depan.

Segovia dan Syahmi menjaringkan dua lagi untuk memberikan kemenangan selesa buat Selangor, sekali gus mendahului saingan liga dengan kelebihan jaringan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kami telah cuba bermain dengan baik tetapi gagal melakukannya. Selangor bermain dengan baik dan kami gagal meraih sebarang mata daripada perlawanan ini," kata pengendali Melaka, Eduardo Almeida.

"Melaka akan berusaha untuk mempertingkatkan prestasi dalam perlawanan akan datang."

Mencipta empat jaringan daripada dua perlawanan, Segovia berpuas hati dengan persembahan Selangor apabila meraih mata penuh selepas dua perlawanan.

"Saya berasakan kami bermain dengan baik pada musim ini. Pasukan ini telah mempamerkan persembahan cemerlang, Selangor bermain dengan baik daripada minit pertama," kata Segovia.

"Kehadiran ramai pemain-pemain yang berkualiti yang beraksi untuk Selangor secara tidak langsung membantu saya untuk mencipta jaringan."

Keputusan lain:

Liga Super

KEDAH 1 PERAK 3

NEGERI SEMBILAN 2 KUALA LUMPUR 0

PKNS 1 PAHANG 0

Liga Perdana

JDT II 2 UiTM 2

Advertisement

Must Watch Video