Skip to main content

Bola Sepak

Satu mata cukup buat Gartung tersenyum

19717pknskl.jpg
Jurulatih PKNS FC, Sven Gartung, menganggap perlawanan tanpa sebarang gol ketika menentang Kuala Lumpur, malam tadi, adalah aksi terbaik yang pernah disaksikannya dalam kempen Liga Malaysia setakat ini.

PKNS dan Kuala Lumpur berkongsi mata selepas tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.

Kedua-dua pasukan turun ke perlawanan ini dalam misi memburu kemenangan pertama selepas gagal meraih mata penuh dalam dua aksi terdahulu.

"Kami tahu pasukan ini (Kuala Lumpur) berada di kedudukan teratas dalam Liga Perdana, mereka pasukan yang bagus dan memberikan kami kesukaran.

"Tetapi secara umumnya saya boleh katakan ini adalah perlawanan yang baik yang pernah saya saksikan setakat ini," kata jurulatih itu yang baru membimbing PKNS. 

Kelebihan selaku tuan rumah cuba dimanfaatkan PKNS tetapi pelawat terlebih dahulu menggugat dengan percubaan Nicolas Alejandro Dul hasil sepakan percuma yang sedikit tersasar pada minit ke-19.

PKNS membalas menerusi tandukan Abdou Jammeh pada enam minit kemudian, malangnya ia hanya menggegarkan palang.

Mereka terus mengasak tetapi dihampakan dengan ketangkasan tonggak skuad pelawat, Mohd Remezey Che Ros, yang dua kali menepis percubaan Nazrin Syamsul Bahri.

Dalam separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus meningkatkan serangan dalam usaha memburu jaringan.

Peluang terbaik PKNS hadir pada minit ke-86 tetapi percubaan Patrick Ronaldinho Wleh itu dikeluarkan pertahanan Kuala Lumpur di atas garisan gol.

Kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat untuk meneruskan penantian kemenangan buat kedua-dua pasukan ini.

"Seperti yang saya katakan kepada pasukan, kami mempunyai kumpulan yang bagus dan hari ini mereka membuktikannya sekali lagi," kata jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel da Silva. 

"Kami masih hidup dalam kejohanan ini. Kami mempunyai tiga perlawanan, kalah satu perlawanan di tempat sendiri dan seri dua perlawanan di laman luar.

"Jadi, kami kekal hidup untuk mencari peluang dalam Piala Malaysia."

Advertisement

Must Watch Video