LIGA PERDANA MSIA
Sarawak mahu kekal rentak positif
Ketua jurulatih Sarawak, Ian Gillan, tidak mahu rekod bersih mereka yang belum tewas sejak empat perlawanan lalu tercalar di tangan UiTM FC bagi mengekalkan momentum persaingan dalam memburu dua slot teratas ke Liga Super, musim depan.
Sarawak kini menjadi calon utama untuk mendapatkan tiket ke liga tertinggi Malaysia itu selain Felda United, Sabah dan Felcra FC setelah skuad Ngap Sayot itu hanya mengalami satu kekalahan selepas tujuh perlawanan.
Bagaimanapun, Gillan dan penyerang Sarawak, Bobby Gonzales, tidak mahu mendabik dada dengan rekod itu kerana saingan musim ini masih panjang dan segalanya mampu berubah jika mereka tewas di tangan UiTM, malam ini.
Iklan
"Saya rasa lawan adalah pasukan yang sukar untuk dihadapi kerana mereka tidak mudah memberikan ruang kepada setiap pasukan yang mereka temui.
"Perlawanan ini akan menjadi sukar kerana mereka sudah melalui dua kekalahan berturut-turut sebelum ini," kata Gillan.
"Apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan. Jika saya menjaringkan gol, ia satu bonus buat saya.
"Kerjasama sangat penting dan sejak kehadiran Gillan, banyak perubahan telah dilakukan dalam pasukan pada musim ini," ujar Bobby.
Dalam masa sama, Gillan sedikit kecewa apabila mengetahui kemenangan 1-0 mereka ke atas Kuantan FA pada 2 Februari lalu tidak akan dikira ekoran pengguguran pasukan lawan dalam kancah Liga Malaysia.
Menurut Gillan, pemainnya telah berusaha keras untuk memenangi perlawanan itu sambil kedudukan terkini mereka dalam Liga Perdana pasti terjejas.
"Kami telah berusaha keras dan berhak meraih tiga mata.
"Saya bukan hanya bercakap mewakili diri saya tetapi perkara sama juga tentu dirasai oleh pasukan seperti UiTM dan Felda," tambahnya.
Must-Watch Video