BOLA SEPAK
Santos tetap pertahan Quaresma, Moutinho, Nani
Pengendali Portugal, Fernando Santos, bingkas mempertahankan Ricardo Quaresma, Joao Moutinho dan Nani selepas kegagalan trio itu menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan mereka tewas dalam separuh akhir Piala Konfederasi kepada Chile, awal pagi tadi.
Ketiga-tiga sepakan mereka mudah diselamatkan Claudio Bravo di Kazan tatkala Arturo Vidal, Charles Aranguiz dan Alexis Sanchez berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing selepas perlawanan terikat seri tanpa jaringan.
Bagaimanapun, Santos menyelar pihak yang cuba memalukan ketiga-tiga pemain tersebut dengan mengingatkan mereka bahawa ketiga-tiganya merupakan penjaring gol ketika Portugal menewaskan Poland menerusi penentuan sepakan penalti dalam suku akhir Euro 2016.
Iklan
"Penjaga gol mereka bertindak cemerlang tetapi ketiga-tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan mereka merupakan wira Portugal dalam suku akhir Kejohanan Eropah berdepan Poland," tegas Santos.
"Saya sentiasa mempertahankan pemain saya. Saya yang memilih mereka untuk mengambil sepakan tersebut."
Ketika di Marseille tahun lalu, Cristiano Ronaldo merupakan pemain yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan pertama, namun berbeza kali ini meskipun setelah melihat dua rakan sepasukannya gagal menyempurnakan sepakan mereka.
"Kami telah menetapkan susunan siapa yang perlu mengambil sepakan tersebut," tambah Santos.
"Ketiga-tiga pemain ini menyempurnakan sepakan mereka ketika di Euro.
"Tiada sebab mencari alasan untuk cuba membuat perubahan selepas sepakan pertama kami gagal disempurnakan."
Must-Watch Video