Skip to main content

Bola Sepak

Sancho perkuat Manchester United hadapi Leeds United, kontrak Varane masih tergantung

sancho.jpg
Jadon Sancho akan terlibat ketika Manchester United menghadapi Leeds United malam esok tetapi tiada kelibat Raphael Varane, jelas Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain sayap England, Sancho, yang ditandatangi dengan harga £73.9 juta (RM434.27j) daripada Borussia Dortmund telah menjalani latihan minggu ini selepas bergelut dengan penyakit selepas bercuti. 

Pengurus The Red Devils itu mengesahkan Sancho sudah bersedia untuk membuat kemunculan pertamanya dengan berdepan pasukan kendalian Marcelo Bielsa tersebut di Old Trafford bagi aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini. 

"Jadon akan terlibat," kata Solskjaer kepada wartawan, semalam. 

"Sayangnya, dia jatuh sakit selepas bercuti, jadi dia terlepas sesi latihan selama beberapa hari tetapi dia sangat gembira dengan pasukan ini. Dia akan terbabit."

Bek tengah, Varane, pula akan tersisih berikutan perpindahannya daripada Real Madrid masih belum dimuktamadkan.

Pemain antarabangsa Perancis itu telah menjalani kuarantin sejak tiba di England berhubung pematuhan protokol COVID-19, tetapi ada beberapa masalah yang harus diselesaikan sebelum dia didaftarkan sebagai pemain United.




"Dia belum berlatih dengan kami," kata Solskjaer lagi. 

"Segala-galanya memerlukan masa. Sayangnya, berikutan kuarantin dan kelewatan, perjanjiannya belum dimuktamadkan 100 peratus. Saya tidak dapat mengatakan bahawa dia akan diturunkan. Saya mungkin boleh mengatakan dia tidak akan terlibat.

"Perkara seperti ini sering terjadi, ia membabitkan hal-hal kecil. Punca utamanya ialah kuarantin. Ia akan diselesaikan segera."

Dalam masa sama, kelibat Anthony Martial terus menjadi tanda tanya.

Pemain dari Perancis itu terlepas dua bulan terakhir musim lalu ekoran kecederaan lutut tetapi sempat beraksi selama 45 minit ketika membenam Everton 4-0. 

Solskjaer menegaskan bahawa dia tidak mempunyai rancangan untuk membenarkan penyerang itu angkat kaki walaupun terdapat beberapa kelab berminat melamarnya. 

"Saya tidak akan terkejut jika pasukan lain menyasarkan Anthony kerana dia adalah seorang pemain yang sangat bagus," katanya. 

"Saya tidak mempunyai rancangan untuk dia menentang kami.

"Dia akan kembali lebih mantap, dahagakan kejayaan, dengan tekad membuktikan kecergasan dan kualitinya memandangkan musim lalu sangat mengecewakan baginya. 

"Dia sedia menghadapi cabaran. Dia pemain Man United dan kami gembira memilikinya. Dia sudah berkali-kali membuktikan kesangsian terhadapnya."

Solskjaer juga menawarkan sedikit maklumat mengenai masa depan Paul Pogba yang berada di tahun terakhir kontraknya di United.

"Ia sering diperkatakan dan ditulis," tambahnya. 

"Setiap perbincangan yang saya lakukan dengan Paul adalah sesuatu yang positif, dia tahu apa yang kami mahukan dan mudah-mudahan dia akan menutup mulut dan membuat keputusan. Paul merupakan tarikan media."



 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video