Skip to main content

Bola Sepak

Sampaoli selar pengkritik celupar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

14617jorge-sampaoli.jpg
Bos Argentina, Jorge Sampaoli, yang sedang berdepan tekanan hebat, kekal yakin untuk terus melayari impian Piala Dunia dengan misi mengalahkan Nigeria mencabar mereka untuk melakar sejarah baru La Albiceleste di St Petersburg.

Kekalahan 3-0 kepada Croatia minggu lalu menimbulkan kesuraman dalam kem Argentina buat sebuah pasukan gergasi kejohanan terbesar dunia ini.

Hanya kemenangan ke atas Super Eagles – sebuah negara yang mereka tundukkan sepanjang empat Piala Dunia terdahulu – di Stadium Krestovsky, awal pagi esok, akan memberikan Argentina dan pemain bintangnya, Lionel Messi, peluang kekal di Russia di peringkat kalah mati.

Laporan mengenai keadaan tuduh-menuduh dalam kem Argentina selepas kekalahan kepada Croatia itu, dengan beberapa pemain senior dikhabarkan tidak gembira dengan kaedah Sampaoli, tersebar luas tetapi bekas bos Chile and Sevilla itu kekal dengan sifat berdegilnya dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

“Ia adalah seminggu yang sukar selepas kekalahan itu yang amat menyakitkan buat kami,” katanya. “Kami kini mendapati diri dalam perlawanan terakhir dengan segala-galanya menjadi pertaruhan dalam memastikan kami layak ke pusingan 16.

“Berkaitan beberapa situasi pula, saya tidak boleh menjelaskan perkara yang tidak benar dan tidak wujud sama-sekali.

"Selepas perlawanan terdahulu, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kekalahan kami. Keesokannya, sebagai jurulatih, apa yang saya fikirkan hanyalah untuk menang (pada Selasa ini).

"Saya berasa sangat yakin bahawa pasukan ini akan memasuki padang dengan tenaga yang hebat untuk menjamin kemenangan. Saya diyakini sepenuhnya akan ada lembaran sejarah baru buat pasukan kebangsaan ini,” katanya.

Sampaoli tidak menafikan wujudnya rundingan di antara pemain-pemainnya dan staf teknikal selepas kekecewaan terbaru mereka itu tetap enggan mendedahkan sebarang butir-butir.

Sebaliknya, dia menyelar spekulasi, tuduhan dan tuduhan balas di dunia maya yang membuatkan mereka yang menjadi sasaran berasa seperti “penjenayah”.

“Secara peribadi, dunia maya tidak langsung menjejaskan saya,” katanya. “Saya cuba untuk tidak memberi sebarang perhatian kepada dunia maya tapi saya juga sedar bahawa ramai orang di sekeliling menjadi sebahagian daripada dunia maya ini.

“Namun, tidak mudah untuk mengasingkan diri. Ada kalanya saya perlu memasuki dunia maya untuk memaklumkan bahawa ada realiti dan fakta yang tidak boleh diubah.

“Saya perlu menangani secara eksklusif realiti bahawa Argentina tidak menang dengan Croatia. Itu menyukarkan keadaan untuk kemaraan kami.

"Kadangkala orang ramai dalam dunia maya membuat anda berasa seperti seorang penjenayah kerana anda tewas satu perlawanan. Jika saya berfikir untuk menyelami dunia maya ini, saya harus menyerah kalah dan meninggalkan jawatan saya,” 
tambahnya.
Sampaoli enggan mendedahkan kesebelasannya sehari sebelum perlawanan, dengan laporan-laporan di negara itu mencadangkan perubahan besar-besaran daripada segi taktik dan barisan pemain.

Penjaga gol, Franco Armani, mungkin dipertaruhkan untuk mengambil alih tempat Willy Caballero, yang kesilapannya membuka peluang buat gol pembukaan Ante Rebic untuk Croatia.

“Pemain-pemain sendiri tidak tahu kesebelasan permulaan. Apa yang boleh saya katakan ialah saya memiliki sepenuh keyakinan bahawa Argentina akan memulakan pengalaman baru dalam Piala Dunia ini dengan cara yang berbeza,” kata Sampoli lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video