BOLA SEPAK
Samassa tekad beri impak kepada T-Team
Pemain import T-Team, Mamadou Samassa, tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama pasukan baharunya itu selepas tidak dapat beraksi dalam aksi pembukaan Liga Super menentang Sarawak, minggu lalu.
“Saya terlepas peluang untuk turun buat kali pertama bersama T-Team gara-gara kecederaan yang dialami dalam perlawanan persahabatan terakhir, dua minggu lalu.
“Kini, kecederaan itu sudah beransur pulih dan saya sudah kembali menjalani latihan penuh bersama rakan-rakan sepasukan sejak kelmarin.
“Tidak dinafikan tahap kecergasan saya masih belum pada tahap terbaik selepas tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak dua bulan lalu. Namun, saya akan berusaha meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Iklan
Ketiadaan Samassa, 30, nyata dirasai jentera tengah skuad kendalian Rahmad Darmawan itu dalam perlawanan lalu.
Bagaimanapun, bekas pemain Marseille dalam Liga Perancis itu bakal menambah sengat The Titans dalam perlawanan bertemu Pahang, esok.
“Saya tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan ini dan keserasian antara pemain juga semakin meningkat, terutamanya persefahaman saya bersama penyerang utama, Farhod Tadjiyev.
“Kami memahami cara permainan antara satu sama lain dengan cepat dan kalau boleh, mahu sama-sama membantu menjaringkan gol untuk pasukan ini menentang Pahang,” tambah Samassa.
Must-Watch Video