Skip to main content

Bola Sepak

Saingan tiga penjuru rebut posisi nombor satu T-Team

t-team39d6bc0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Perpindahan dua penjaga gol T-Team meninggalkan posisi itu kini menjadi rebutan Mohd Izzuddin Hussin, Mohd Suhaimi Husin dan Mohd Hafidz Romly untuk menggalas tugas sebagai benteng terakhir menjelang aksi pembuka tirai bertemu Sarawak, malam ini.

Menurut jurulatih penjaga gol pasukan itu, Kurnia Sandy, meskipun sudah mempunyai bayangan siapa yang akan beraksi, peluang masih terbuka kepada tiga penjaga gol itu untuk membuktikan mereka lebih baik daripada satu sama lain.

“Bagi saya, tiada istilah penjaga gol utama, penjaga gol kedua atau penjaga gol ketiga kerana siapa yang menjalani latihan dengan baik, pasti ada peluang untuk dipilih dalam kesebelasan utama.

“Izzuddin jarang beraksi musim lalu manakala Suhaimi pula hanya menyertai kami musim ini dari Hanelang FC dalam Liga FAM di mana dia masih belum berdepan dengan penyerang import.

“Bekas penjaga gol DRB Hicom, Hafidz, pula masih belum dalam keadaan terbaik, jadi peluang masih terbuka walaupun saya sudah mempunyai bayangan penjaga gol utama,” ujarnya.

Posisi penjaga gol T-Team kini kekosongan selepas kehilangan Ilham Amirullah Razali yang berpindah ke Felda United manakala Wan Azraie Wan Teh pula menyarung jersi Pahang untuk musim ini.

Advertisement

Must Watch Video