Skip to main content

Bola Sepak

Sabah tidak rela lagi tercicir mata

sabah.jpg
Selepas kekalahan kepada UKM FC, Selasa lalu, Sabah tidak rela lagi tercicir mata dan mahu menebusnya dengan kemenangan ke atas Pulau Pinang meskipun beraksi di gelanggang lawan malam ini.

Jurulatihnya, Jelius Ating, berkata pemain-pemainnya juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan seperti mana terjadi ketika mereka dimalukan 2-3 oleh UKM.

"Memang saya kecewa dengan kekalahan kepada UKM FC, begitu juga pemain, tetapi itulah bola sepak dan apa yang penting sekarang ialah kami fokus untuk mengutip mata penuh walaupun bermain di gelanggang lawan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius akan melakukan beberapa perubahan terhadap kesebelasan utamanya untuk menghadapi Pulau Pinang, termasuk menyenaraikan semula Maxsius Musa yang sebelum ini direhatkan di bangku simpanan.

"Selain itu, kami juga sekali lagi akan kehilangan khidmat pemain tengah, Heo Jaenyong, namun saya yakin pemain yang menggantikannya akan dapat melaksanakan tugasnya," katanya.

Sementara itu, Jelius berkata kelebihan yang diperoleh berikutan pembatalan kesemua aksi membabitkan pasukan Kuantan FA harus dimanfaatkan.

"Dengan keputusan itu, kami kembali semula ke tangga ketiga dan hanya ketinggalan satu mata dengan pasukan di tangga kedua, Felcra FC.

"Bagaimanapun, pasukan yang berada di bawah kami juga tidak jauh ketinggalan dan oleh sebab itu, kami tidak mahu lagi tercicir mata," katanya.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu naik satu anak tangga berikutan keputusan pembatalan perlawanan membabitkan Kuantan FA.

Mereka kini mengutip 13 mata hasil daripada tiga kemenangan, empat seri dan satu kekalahan.





 

Advertisement

Must Watch Video