LIGA PERDANA MSIA
Sabah tagih sokongan padu penyokong
Pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim, berharap penyokong pasukan itu akan terus memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Jelius Ating dengan datang beramai-ramai ke Stadium Likas dalam aksi liga bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), malam esok.
Katanya, usaha memantapkan pasukan yang mendapat jolokan Sabah Rhinos itu sudah mula menampakkan hasil dan ia perlu dilengkapkan dengan sokongan padu penyokong.
"Penyokong adalah sebahagian daripada anggota sesebuah pasukan bola sepak yang kita anggap sebagai pemain ke-12 ketika pasukan beraksi.
Iklan
"Kehadiran penyokong yang ramai akan menyuntik semangat pemain dan pada masa yang sama, memberi tekanan kepada pasukan lawan. Saya harap ini dapat dinikmati malam esok," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Juil berkata usaha-usaha yang telah dilakukan bagi memantapkan pasukan, termasuk pengambilan empat pemain import baharu, sudah mula menampakkan hasil.
"Pasukan sudah menunjukkan perkembangan positif dengan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir, iaitu menang dua dan seri satu, dan kami bertekad meneruskannya malam esok.
"Ia bukan tugas mudah tetapi saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius (Ating) sudah bersedia sepenuhnya menggalas tanggungjawab memburu kemenangan.
"Bersama sokongan padu penyokong, saya percaya pasukan kita akan lebih kuat. Marilah bersama-sama memainkan peranan sewajarnya," katanya.
Tambah beliau, walaupun sudah tiada lagi gelaran yang perlu dikejar tetapi Sabah tidak mahu berada dalam kelompok pasukan yang bergelut di zon penyingkiran sebaliknya akan cuba mencapai kedudukan terbaik daripada baki lapan perlawanan termasuk malam esok.
Sabah kini di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 14 mata hasil empat kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan.
Rekod pertemuan dengan PKNP pada pusingan pertama berkesudahan seri 1-1 tetapi PKNP kini di kedudukan ketiga liga dengan 28 mata.
Must-Watch Video