Skip to main content

Bola Sepak

Sabah siap sedia tunggu Felda United di Likas

sabah13418.jpg
Pasukan Sabah tidak sesekali gentar untuk bertemu dengan mana-mana pasukan, termasuk pendahulu Liga Perdana, Felda United, yang akan berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Dengan rekod cemerlang Felda dalam aksi liga setakat ini, ia sudah pasti membawa laluan sukar kepada mana-mana pasukan yang menentang mereka, namu, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap menganggap perlawanan esok sebagai sama pentingnya seperti perlawanan lain.

"Memang kita akui Felda sebuah pasukan yang baik dan kita hormati mereka, namun tidak kisah siapa pun mereka, Felda kah, JDT (Johor Darul Ta'zim) kah, UiTM FC kah, kita tetap lawan habis-habisan untuk mencipta kemenangan.

"Apa yang saya harap ialah pemain mampu mempamerkan aksi baik seperti sebelum ini dan saya juga harap penyokong membantu kita dengan datang beramai-ramai ke stadium untuk memberi sorakan kepada pemain," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kini menghuni tangga kedua liga, ketinggalan enam mata di belakang Felda selepas mengutip 12 mata hasil daripada tiga kemenangan dan tiga seri.

Jelius juga berkata pasukannya akan mendapat semula khidmat pertahanan berpengalaman, Maffry Balang, yang sebelum ini terlepas aksi menentang UiTM FC kerana menjalani penggantungan. 

"Kesemua pemain bebas daripada kecederaan dan siap sedia untuk diturunkan esok... saya hanya akan melakukan sedikit perubahan terhadap kesebelasan utama, iaitu memasukkan semula Maffry.

"Kita juga mungkin kembali menggunakan semula formasi 3-5-2. Dada aksi lalu kita terpaksa menukar strategi menggunakan formasi 4-4-2 berikutan ketiadaan Maffry," katanya.

Advertisement

Must Watch Video