Skip to main content

Bola Sepak

Sabah mahu uji persiapan dengan berdepan PKNS

sabah8e82ba0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Skuad Sang Badak akan melayan kunjungan PKNS dalam perlawanan pra-musim di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Ia juga adalah ujian terakhir skuad Negeri Di Bawah Bayu itu sebelum menghadapi saingan Liga Perdana yang akan membuka tirainya pada 20 Januari.

Pengendalinya, Steve Vilmiaire, berkata perlawanan berkenaan memberi peluang kepadanya untuk mengesan kelemahan yang ada dalam pasukan, terutama selepas aksi persahabatan bertemu Sarawak sebelum ini.

"Kita tengok macam mana nanti (bertemu PKNS), saya harap mereka belajar daripada kesilapan ketika bertemu Sarawak...saya harap akan ada peningkatan," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu.

Vilmiaire berkata antara yang perlu diperkemaskan lagi ialah bahagian serangan kerana tiga perlawanan persahabatan lalu menyaksikan mereka tidak dibolosi sebarang gol.

"Ia bukanlah antara tumpuan utama (bahagian serangan), tetapi kami telah bermain tiga perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol.

"Setakat ini, saya boleh katakan kami bertahan dengan agak baik dan cabaran kini ialah untuk mempertajamkan lagi bahagian serangan," katanya.

Sementara itu, Vilmiaire berkata beliau mungkin melakukan sedikit perubahan terhadap barisan pemain yang akan diturunkan malam ini.

"Saya akan melakukan beberapa perubahan, mungkin dari segi corak permainan dan mungkin juga saya akan mencuba beberapa pemain baharu, termasuk dari skuad bawah 21 tahun," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video