LIGA PERDANA MSIA
Sabah lebur rekod UiTM, kebal di Likas
SABAH 3 UiTM 1
Sabah meleburkan rekod tanpa kalah UiTM FC apabila menang 3-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
Kemenangan itu juga menyaksikan Sang Badak kembali merampas kedudukan kedua liga selain mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga, musim ini.
Iklan
Beraksi di hadapan hampir 4,000 penyokong, Sabah mendahului UiTM FC hasil jaringan Maxsius Musa pada minit ke-15.
Gol itu berpunca daripada hantaran Lee Gil Hoon yang disambut Maxsius dan kemudian mengatasi seorang pertahanan sebelum melakukan penyudah baik.
Bagaimanapun, UiTM FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 hasil tandukan pemain gantian, Dao Bakary, selepas satu sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Pada minit ke-43, Sabah sekali lagi berada di depan hasil sepakan percuma cantik Sabri Sahar dari jarak kira-kira 20 meter di luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-47, bagaimanapun sepakan percuma Sabri berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Mohamad Soffuan Tawil.
Soffuan sekali lagi menjadi penghalang tuan rumah menambah jaringan apabila menyelamatkan rembatan kencang Gil Hoon dari dalam kotak penalti pada minit ke-56.
Pada minit ke-62, UiTM FC hampir menyamakan kedudukan hasil rembatan Sadam Hashim, namun penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining, berjaya menyelamatkan gawangnya.
Pada minit ke-63, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Nursalam Zainal Abidin dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil.
Kelebihan itu kemudian dimanfaatkan Sabah apabila memperoleh gol ketiga hasil rembatan cantik Heo Jaenyong dari luar kotak penalti pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam, meniupkan wisel penamat.
Keputusan lain:
PDRM 0 JDT II 0
TFC II 0 FELDA UNITED 2
Must-Watch Video