Skip to main content

Bola Sepak

Rush: Salah mampu seiring Messi, Ronaldo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

salah2.jpg
Ikon Liverpool, Ian Rush, percaya Mohamed Salah berpotensi mengikut jejak langkah bintang dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan Mesir itu mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 29 gol dan ketinggalan tiga gol untuk merekodkan gol terbanyak dihasilkan dalam semusim.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang membuka jaringan buat The Reds dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Manchester City di Anfield semalam, sekali lagi menjadi perhatian di mata dunia.

Rush – yang menjaringkan 346 gol buat Liverpool - percaya jika Salah mampu mengekalkan prestasinya, dia mampu mencapai tahap seperti Messi dan Ronaldo.

"Saya terkejut. Jika ada yang memberitahu kepada saya dia mampu menjaringkan 30 gol musim ini, anda mungkin akan tertawa dan dia telah melakukannya," kata Rush.

"Dia seorang pemain yang menakjubkan. Saya menyaksikan dia beraksi berdepan Watford dan menyumbat empat gol.

"Pada saya, Messi dan Ronaldo adalah pemain terbaik dunia. Selepas melihat Salah, dia seperti hampir seiring dengan mereka.

"Salah seorang pemain yang tidak mementingkan diri sendiri. Dia menjaringkan empat gol (berdepan Watford), tetapi turut mencuba menghasilkan bantuan jaringan buat rakan sepasukannya.

Aksi cemerlang Salah berjaya menarik perhatian juara Eropah, Real Madrid, tetapi Rush yakin dia akan kekal bersama The Reds.

"Semua orang suka kepada Salah. Tiada alasan untuknya meninggalkan kelab ini," kata Rush.
 

Advertisement

Must Watch Video